Wednesday, December 14, 2011

Saya Sudah Bergelar Ibu

Syukur alhamdulillah pada 12 Disember yang lalu, genap sebulan usia permata hati saya, Ra'ees Aqeel. Siang tadi kami pergi ke klinik untuk membuat pemeriksaan. Alhamdulillah, berat Aqeel sudah mencecah 4.4kg dan pembesarannya normal dan baik. Saya juga sihat dan tiada masalah. Berat badan sudah turun 10kg. Ini bererti saya perlu berusaha keras untuk menurunkan 10kg lagi untuk kembali kepada berat badan asal. hehe.
Menjadi seorang ibu adalah suatu yang benar-benar membahagiakan. Benarlah kata orang, anak itu pengikat kasih suami isteri. Walaupun masih ada dugaan, tapi saya akui lebih kuat dan tabah untuk menghadapinya. Saya pasrahkan segala-galanya kepada Allah. Saya hanya mampu berdoa agar rumahtangga kami akan terus dapat dipertahankan dan semoga Allah melimpahkan rezeki dan kasih sayang yang lebih mendalam kepada kami sekeluarga.
Pada masa sekarang, tiada lain yang lebih penting selain membesarkan Aqeel dengan penuh kasih sayang dan didikan yang sempurna. Saya sedar, saya sendiri banyak kekurangan tapi saya akan cuba sedaya upaya mendidik Aqeel dengan didikan sempurna menjadi anak yang soleh, insyaAllah.
Ya Allah, terima kasih kerana memberikanku peluang untuk bergelar seorang IBU... 

Monday, October 31, 2011

Zon Tunggu Hari

Alhamdulillah, sudah masuk minggu ke39. ini bererti saya berada dalam zon 'tunggu hari'. Sebagai persediaan, saya sememangnya sudahpun mula cuti bersalin awal. Jika ikutkan rasa, memang agak berat. Manakan tidak, sebahagian kerja-kerja rasmi saya terpaksa diserahkan kepada orang lain. Tapi apa boleh buat. Saya terpaksa. Apapun, saya amat berterima kasih kepada rakan sekerja yang  sudi mengambil alih tugas saya. Hanya Allah yang mampu membalasnya.

Kalau ikutkan hati, memang agak bosan duduk di rumah. Apatah lagi dengan ketiadaan tv. Hendak keluar berjalan pun, dah tak tahu hendak ke mana. Habis ceruk banting, kelang dan shah alam saya ronda. Mahu saja berjalan lebih jauh, tapi risau kalau ada sesuatu yang tak diingini berlaku dalam keadaan memandu bersendirian.

Tanda-tanda kecil nak bersalin sudahpun dirasakan. Saya cuba bertenang dan bersiap siaga apa yang perlu. Segala teori dan tips-tips menjelang kelahiran dah saya tanya dan baca. Tinggal lagi untuk mempraktikkannya sahaja. Terima kasih kepada suami, keluarga dan rakan-rakan yang selalu memberi nasihat dan mendoakan kesihatan saya dan baby.

Jauh di sudut hati, saya berharap dapat meraikan Hari Raya Qurban sebelum bertarung nyawa melahirkan zuriat ini. Manalah tahu, itu adalah kali terakhir saya meraikannya. Apapun, yang paling penting saya selamat melahirkannya. Dan semoga saya sempat untuk menyusukan dan membesarkannya menjadi anak yang soleh. amin...

Tuesday, October 4, 2011

36...

Syukur alhamdulillah, akhirnya dapat juga kembali menulis sesuatu di blog ini. Gembira rasanya dapat berkongsi walaupun perkongsian itu tidak seberapa. 36.. Ya, minggu ini sudah masuk minggu ke36 kandungan saya. Terasa banyak perubahan yang dialami terutama tahap pengembangan badan yang agak mendadak. Ibarat kata usikan rakan sekerja, 'dah kembang semangkuk'... Apapun, saya merasa begitu bersyukur kerana saya dan baby berada dalam keadaan yang sihat dan stabil.

Melangkah masuk minggu ke36 ini sudah tentu memberi pengalaman berbeza. Mana tidaknya, debaran kelahiran semakin terasa. Ada beberapa kali saya bermimpi bersalin. Tapi yang peliknya, baru baring dek kerana sakit nak bersalin, tau-tau baby saya sudah lahir dan berada di sisi saya. Alangkah bagusnya kalau realitinya begitu. hehe...

Seakan tidak percaya saya bakal bergelar ibu tidak lama lagi. Lebih bermakna kalau baby dapat dilahirkan sehari lebih awal dari tarikh due, iaitu pada hari raya aidiladha, 6 november bersamaan 10 zulhijjah 1432H. Pasti ia akan menjadi tarikh lagenda yang lebih mudah diingati.

Hakikatnya, bukan mudah nak mengusung perut 24jam ke sana ke mari. Dengan pernafasan yang lebih mudah semput, pinggang yang kerap sakit dan sentiasa tidak senang duduk, itu adalah beberapa cabaran kecil bergelar bakal ibu. Pergerakan ke sana ke mari agak terbatas. Hendak bangun daripada duduk pun tidak semudah dahulu. Tapi semua itu adalah pengalaman. Kesusahan itulah yang menjadi gedung pahala buat diri seorang wanita.

Jauh di sudut hati, adakalanya airmata saya menitis bila mengenangkan arwah ibu yang telah pergi hampir 15 tahun yang lalu. Kalaulah arwah dapat bersama-sama berkongsi detik kelahiran bayi dalam kandungan ini. Masih terbayang wajah suci arwah yang begitu gigih mendidik saya dan adik-beradik lain dengan penuh kasih sayang. Walaupun saya hanya sempat merasai nikmat kasih sayang seorang ibu selama 13tahun, tapi pengalaman itu sangat bererti dan tidak pernah pudar dalam ingatan saya. Emak adalah idola saya. Terfikir di minda, adakah saya mampu menjadi seorang ibu hebat sepertinya? Ketabahan dan kesabarannya begitu luar biasa. Mudah-mudahan saya juga begitu, insyaAllah...

Anak adalah amanah Allah yang tiada tolok nilaiannya. Mudah-mudahan saya dan suami sempat  mendidik dan membentuk anak ini menjadi manusia yang soleh dan berguna pada agama dan bangsa, insyaAllah...

Ya Allah, berilah aku kesihatan dan kecergasan tubuh badan untuk terus beribadah kepadaMu... Semoga Engkau masih menginzinkan aku untuk bernafas sehingga bayi dalam kandunganku ini selamat lahir ke dunia, amin ya Robbal a'lamin...

Tuesday, August 16, 2011

Selagi Masih Bernafas...

Selagi masih bernafas
Kan kupertahankan rasa cinta ini
Untuk mencintaiMu juga kekasihMu
Menegakkan Din selagi berdaya
Dengan segenap jiwa dan raga...

Selagi masih bernafas
Kan kuhargai insan yang menyayangiku
Setulus ikhlas hati
Kuingin mereka tahu
Betapa kuingin sekali
Menghabiskan sisa waktu bersama
Walau ia seketika cuma

Selagi masih bernafas
Kan kuhabisi setiap detik yang berbaki
Untuk terus memperbaiki diri
Mencari Nur menuju Ilahi
Walau ranjau penuh duri
Kuharus gagahi
Demi sebuah kehidupan yang lebih bererti...

Selagi masih bernafas
Kan kutagih kemaafan menyucikan diri
Dari insan-insan yang pernah aku sakiti
Pada insan yang pernah aku derhakai
Kesalnya aku tidak terperi
Mengenang banyaknya khilaf diri...

Selagi masih bernafas
Takkan ku berputus harap
Memohon keampunan dariMu Ya Ghafur
Semakin jelas kudengari panggilanMu
Namun sempatkanlah aku Ya Robbi
Meninggalkan zuriat sebagai pewaris diri
Yang bisa menyambung amalanku di sini
Buat tambahan bekalanku di rumahMu yang abadi...

Monday, August 1, 2011

Selamat Datang Ramadhan...

Syukur alhamdulillah, aku masih bisa bernafas untuk menemui ramadhan buat kesekian kali. Ramadhan kali ini pastinya berbeza kerana aku menyambutnya dengan berbadan dua. Subhanallah... Terima kasih ya Allah... ia adalah pengalaman yang sangat bererti buat diriku. Terima kasih juga ya Allah kerana memperkenankan doaku untuk menemui seorang yang begitu istimewa dalam hidupku beberapa hari sebelum menjelangnya Ramadhan. Sungguh, aku merasa begitu terharu. Pertemuan yang singkat itu telah menyuntik seribu satu semangat dan ilham baru buat aku dan bayi dalam kandunganku. Alhamdulillah...

Hari ini adalah hari pertama puasa. Bagi aku, menahan lapar dan dahaga adalah lebih mudah berbanding menahan diri daripada melawan nafsu. Dalam keadaan aku ini, aku akui aku lebih sensitif. Apatah lagi dengan tanggungjawab mengajar yang semakin bertambah. Aku jadi kurang sabar.

Semoga dengan bersempena bulan penuh barokah ini, aku akan menjadi orang yang lebih sabar dan tabah, amin...

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w bersabda: 'Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan dia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya. ~Al Bukhari~

Sunday, June 12, 2011

Syukur alhamdulillah kupanjatkan kepada Allah, Pencipta sekalian makhluk dan alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW. Setelah beberapa ketika, dapat jua saya mencoret sesuatu untuk perkongsian di blog ini. Terasa cepat benar masa berlalu. Dalam tidak sedar, cuti sekolah sudah sampai ke hujungnya. Sepanjang dua minggu bercuti, tidak banyak aktiviti besar yang dapat diisi. Namun ada beberapa yang berlaku yang pasti meninggalkan kenangan dan kesan yang tersendiri.

Tanggal 5 Jun yang lalu, genap setahun usia perkahwinan saya. Alhamdulillah, saya dan suami sempat meluangkan masa bercuti di Pulau Langkawi. Terasa sangat teruja, maklumlah pertama kali menjejakkan kaki ke sana. Banyak tempat menarik yang sempat dikujungi dan meninggalkan seribu satu kenangan yang cukup bererti. Mahu saja terus menetap di sana dek merasa terlalu tenang dan jauh dari memikirkan apa-apa. Terima kasih suamiku kerana menaja percutian ini. Percutian ini sangat bererti dan lebih bermakna dengan kehadiran baby dalam kandungan ini. Semoga kehadiran baby ini akan mengikat kasih sayang yang lebih dalam ikatan perkahwinan kami, insyaAllah.

Hari terakhir di sana iaitu pada 7 Jun, saya dikejutkan dengan berita kematian pakcik yang tinggal sekampung. Seakan tidak percaya tapi saya perlu menerima dengan redha. Saya sangat terkilan kerana tidak sempat menatap wajahnya buat kali terakhir kerana penerbangan saya dijadualkan pada malam tersebut. Hanya iringan doa yang mampu dikirimkan dari jauh. Al-Fatihah.

Bulan Jun ini juga menjadi detik bermakna antara saya dan beberapa sahabat. Tahniah kepada sahabat sekuliah, Dian Azrin yang selamat melahirkan baby girl pada 2 Jun yang lalu. Selamat Ulangtahun yang pertama yang jatuh pada hari ini. :) Semoga ikatan perkahwinan terus kukuh dan berbahagia selalu lebih-lebih lagi dengan kehadiran cahaya mata pertama. Terima kasih kepada sahabat saya Nur Khairunnisa yang sudi meluangkan masa untuk makan dan shopping bersama. Walaupun sekejap, ianya sangat bererti dalam persahabatan kami sejak di bangku sekolah menegah lagi. Tidak lupa juga kepada sahabat saya, Nur Hafizah yang sudi singgah sebenar menziarahi saya di rumah. Kehadirannya amat saya hargai memandangkan kekangan waktu yang sangat membataskan kami untuk berjumpa. Dalam tidak sedar sudah 3 bulan usia perkahwinannya bersama insan tercinta. Semoga dirimu sentiasa bahagia di samping suami dan keluarga tersayang.

Dalam hidup ini, tiada yang lebih indah selain disayangi oleh orang-orang yang kita sayangi. Saya sangat bersyukur masih mampu mempertahankan perkahwinan saya. Dugaan dan ujian sentiasa ada tapi saya yakin akan hikmah yang terselindung di sebaliknya. Saya sedari, perkahwinan bukan bererti memiliki tapi sejauh mana kita memberi. Begitu juga dengan persahabatan. Apa yang penting ialah sejauh mana kita menghargai kedua-duanya. 

Saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat pengantin baru buat teman-teman yang selamat melangsungkan perkahwinan sepanjang hujung cuti sekolah ini. Tahniah diucapkan. Semoga perkahwinan kalian kekal hingga ke akhir hayat. Akhir sekali, selamat kembali bertugas buat semua teman-teman dan rakan setugas yang bergelar guru. Selamat kembali ke sekolah juga buat semua anak didikku. Sesungguhnya mengajar dan belajar adalah satu ibadah. Sama-sama melaksanakannya dengan hati yang penuh ikhlas dan jiwa yang teguh.

Tuesday, May 3, 2011

Sesuatu...

Assalamualaikum w.b.t.
Alhamdulillah, sekali lagi saya berkesempatan untuk berkongsi sesuatu di laman ini. Saya tidak berniat untuk mengaibkan diri saya ataupun sesiapa. Cukuplah ianya menjadi iktibar dan pengajaran buat sesiapa saja yang membaca.

Pertamanya syukur alhamdulillah kerana blog ini masih mampu saya pertahankan. Pernah beberapa kali saya mengambil keputusan untuk menamatkannya sahaja. Tapi entah kenapa hati saya berat. Ya, berat untuk melepaskan sesuatu yang saya sayang. Blog ini saya usahakan dengan satu niat untuk berkongsi ilmu dan pengalaman. Dan apa yang lebih penting ialah, blog ini saya inspirasikan buat seseorang yang amat saya sayang. Tanpa dorongannya, tak mungkin blog ini boleh wujud.

Seawalnya, memang saya rasa amat gembira dan berpuas hati dengan terciptanya blog ini. Sehinggalah satu peringkat, blog saya dikecam hebat oleh beberapa komen yang agak menyinggung perasaan saya malah mengaibkan saya secara global. Saya redha, mungkin inilah sebahagian kesan negatif penggunaan internet yang saya kira menjadi wadah yang semakin penting untuk kita meluahkan isi hati secara berleluasa.

Blog ini adalah contoh lain seperti twitter malah facebook ini menjadi wadah yang sangat baik dan berkesan untuk menyampaikan maklumat. Cumanya bergantung kepada kita bagaimana mahu memanfaatkannya. Setiap perkara baik akan dihitung berlipat ganda. Ayuh, marilah kita berusaha ke arah itu. Tapi jika sebaliknya, terimalah padah dosanya yang berlipat ganda. Setiap tulisan yang terpapar di skrin internet ada nilai pahala dan dosanya. Sama-sama renungkan...