Wednesday, March 24, 2010

Selawat...

Tenangkan hati dengan berselawat ke atas nabi...

Monday, March 15, 2010

Guru Teladan

(Nukilan ini kutujukan khas buat diriku, guru-guru dan pelajar-pelajar...)


'Ingat, kalau kamu nakal nanti bila kamu besar dan jadi cikgu, maka anak murid kamu pasti akan lebih nakal daripada kamu'.. Itulah kata-kata keramat seorang guru yang masih segar diingatanku. Benar.. memang benar apa yang guruku perkatakan. Kini aku adalah seorang guru. Apa yang boleh aku katakan, menjadi guru di zaman millenium ini memang cukup mencabar. Karenah pelajar begitu menyesakkan fikiran. Ditambah lagi dengan beban tugas dan tanggungjawab guru yang semakin bertimbun. Namun, entah di mana silapnya kehormatan sebagai seorang guru semakin rendah dan tercalar. 

Senakal-nakal aku, aku masih lagi tahu memberi salam setiap kali berselisih dengan cikgu. Aku juga tidak pernah menjawab atau meninggi suara setiap kali bercakap dengan cikgu. Meskipun aku didenda, aku tidak pernah berdendam apatah lagi melawan cikgu.  Aku tahu menjaga kelakuanku setiap kali bersama cikgu. Aku akan malu sekiranya berselisih dengan cikgu dalam keadaan yang kurang sempurna. Aku juga menganggap guru sebagai ibubapa keduaku. Begitulah contoh  hormatnya aku terhadap guru sehingga menjadikan guru sebagai idolaku.

Tapi kini segalanya telah berubah selari dengan arus zaman. Aku tahu aku tidak boleh berharap akan dihormati seperti itu sekiranya aku ingin terus betah dalam profesion keguruan. Aku sedar bahawa aku perlu bijak dalam mendidik dan seterusnya menjadi role model yang baik kepada pelajar. Teringat aku kata-kata seorang sahabat dalam penulisannya yang berbunyi 'kita kebanjiran idola tetapi kekontangan teladan'. Aku sama sekali bersetuju dengan kenyataan itu. Persoalannya siapakah yang akan memberi teladan yang baik? Jawapannya tentu sekali adalah guru. Semua orang maklum, tugas guru kini bukan lagi setakat mengajar tapi mendidik. Tugas mendidik ini bukan perkara mudah. Jika tidak masakan segelintir ibubapa menyerahkan tugas mendidik anak mereka kepada guru di sekolah. Di sinilah titik tolak guru sebagai role model kepada pelajar.

Menjadi role model bukanlah perkara yang diibaratkan sebagai 'kacang goreng'. Dalam tidak sedar, pelajar semakin bijak dan amat teliti melihat dan mentafsir setiap perkataan, perbuatan hatta penampilan guru. Sebagai contoh, pernah sekali aku menegur seorang pelajar yang bertudung pendek. Pelajar itu menjawab, 'ala, kira ok la ni. cikgu-cikgu lain ade je yang pakai tudung pendek ke sekolah. Ni pun nasib baik saya pakai tudung tau'. Lihat, bagaimana telitinya mata seorang pelajar yang tidak pernah lekang memerhati setiap inci pakaian guru. Malah mereka bukan lagi anak kecil yang naif untuk membuat penilaian. Apa yang aku kongsikan hanyalah satu contoh bukti betapa penampilan guru sangat penting untuk menjadi salah satu aspek role model kepada pelajar. Sekiranya penampilan guru tidak dijaga, maka tidak mustahil pelajar akan gagal mengikut etika pemakaian yang sepatutnya. Begitu juga halnya dengan tindak tanduk dan bahasa percakapan guru. Pelajar kini semakin berani melawan guru baik dari segi perkataan atau perbuatan. Hal ini sudah cukup menandakan bahawa mereka benar-benar lompong akhlak untuk menghormati seorang guru. Mereka mengaggap guru itu sama taraf seperti rakan. Mereka bebas menyuarakan apa sahaja mengikut kehendak hati mereka. Semakin guru itu berkasar bahasa dan tindakan, semakin kasarlah bahana yang diterima oleh guru. Sebaliknya, jika guru itu bersikap baik dan lembut, mereka akan mengambil kesempatan dan naik bulu. 

Berdasarkan Teori Psikososial Erik Erikson, pada usia remaja (13-17tahun) mereka berada dalam krisis identiti dan kecelaruan peranan. Di peringkat ini, mereka cuba mencari satu identiti diri atau ikon yang menonjolkan keremajaan mereka. Di saat ibubapa sibuk bekerja, siapa lagi yang boleh mereka jadikan sebagai ikon identiti? Dengan kebanjiran berbagai bentuk hiburan dan program realiti tv, tentu sekali mereka cenderung memilih artis sebagai idola.  Siapa yang tidak kenal Yuna, Aizat, Hafiz, Stacy, Faizal Tahir dan ramai lagi (aku sendiri tidak kenal). Pelajar begitu taksub mencontohi golongan artis ini terutama dari segi fesyen berpakaian. Penangan golongan artis ini memang teramat hebat. Hinggakan pembawaan fesyen ini terbawa-bawa ke sekolah. Bila ditegur, jawab mereka mudah. 'fesyen cikgu'.. Mereka sampai sanggup didenda asalkan dapat mempertahankan fesyen mereka. 


Berbalik kepada guru sebagai teladan. Aku percaya sekiranya seorang guru mampu menonjolkan identiti dan peribadi yang baik tidak mustahil golongan pelajar ini akan menjadikan guru sebagai ikutan dan idola. Bukannya golongan artis yang kebanyakannya hanya merosakkan pemikiran dan akhlak pelajar. Biarpun bilangan pelajar yang menjadikan guru sebagai idola ini beberapa kerat cuma, sekurang-kurangnya itu adalah petanda bahawa seorang guru itu masih ada aura dan karisma. Aku percaya masih ada segolongan pelajar yang masih boleh menurut kata dan boleh diatur mengikut acuan seorang guru.


Secara peribadi, adakalanya aku kecewa kerana masih tidak mampu menawan hati pelajar-pelajarku untuk membuat anjakan diri ke arah yang lebih baik. Aku tahu, perubahan sikap itu adalah satu proses yang berpanjangan. Aku perlu banyak bersabar dan terus melipat gandakan usaha. Akan kupegang prinsipku, 'melakukan sesuatu itu lebih baik dari tidak melakukan apa-apa biarpun apa yang diusahakan itu gagal'. Sebelum aku mengubah orang lain, harusku ubah dan perbaiki diriku dulu. Barulah namanya kepimpinan melalui teladan. Dalam kalangan umat Islam sendiri, suri teladan yang paling baik adalah nabi junjungan kita Muhammad s.a.w...

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (aitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan Dia banyak menyebut Allah”. (Al-Ahzab:21).

Aisyah ketika ditanya tentang akhlak Rasulullah, beliau menjawab : 'Akhlaknya adalah Al Quran' (HR. Muslim no. 746)


Rasulullah s.a.w dapat menawan hati umat manusia memeluk Islam dan seterusnya membina tamadun Islam dengan peribadinya yang sungguh mulia. Setiap kejahatan yang diperlakukan ke atas baginda, dibalas dengan kesabaran dan kebaikan. Jauh sekali dengan iringan dendam atau hukuman. Wahai diriku dan insan-insan yang memegang amanah sebagai guru... ayuh sama-sama kita renungkan sejenak bagaimana akhlak dan peribadi kita sebagai role model kepada anak-anak didik kita. Jika kita inginkan perubahan, sudah masanya kita bermuhasabah diri merenung apa yang perlu diperbaiki. Mudah-mudahan niat dan usaha murni kita ini mendapat keberkatan Ilahi, insyaAllah..




Saturday, March 13, 2010

Sabar



Aku bersabar
Bila ada orang mengungkit kejahilanku
Aku bersabar
Bila orang merendah-rendahkan kemampuanku
Aku bersabar
Bila ada orang tidak faham perjuanganku
Tapi...
Masakan aku boleh bersabar
Jika ada orang memperkotak katikkan agamaku
Jika ada orang menindas saudara seagamaku
Jika ada orang menikam dari belakang mahu menghancurkan agamaku...
Ya Allah...
Kadangkala aku lemah
Tidak berdaya menghadapi ujian dan dugaanmu
Oleh itu Ya Allah
Tiupkanlah ke dalam dadaku
Sebanyak-banyak sifat sabar
Agar aku dapat bisa bertahan
Meneruskan perjuangan ini...

Sunday, March 7, 2010

Cinta Sebenar...

Tentu ramai yang tertarik bila membicarakan tentang cinta. Tapi apakah cinta sebenar seorang manusia? Itulah persoalan yang dilontarkan kepadaku oleh salah seorang guru berpengalaman di sekolahku. Kutahu, cinta yang dimaksudkan bukanlah cinta kepada manusia, tetapi cinta kepada Allah dan Rasul. Namun, realiti yang banyak terjadi hari ini adalah salah faham menganai konsep sebenar bercinta di kalangan sebahagian dari kita. Dalam erti kata lain, ramai di antara kita yang hanyut dengan cinta manusia melebihi cinta fitrah kepada Allah dan Rasul. Siapa tidak tahu kisah Laila Majnun, Romeo Juliet, Lady Diana dan Dodi Al Fayed. Adakah cinta begitu  itu yang perlu kita banggakan? Jawapannya tentu sekali tidak. Tapi, mengapa kita terus mengagungkan kisah mereka dan membiarkan pemikiran kita dijajah dengan anasir cinta tidak berTuhan? Tepuk dada, tanya iman. 

Sedih dan kecewa sekali bila melihat ramai di antara kita yang lahir sebagai Islam tidak benar-benar menghayati dan memahami cinta sebenar. Mencintai manusia melebihi cinta kepada Allah dan Rasul. Malah melupakan cintanya kepada kedua ibubapa. Cinta mereka hanya bersandarkan nafsu. Maka tidak mustahillah, hari demi hari berlaku peningkatan kes zina, rogol, kes buang bayi, pelacuran dan segala macam gejala sosial yang tidak diingini dek kerana hanyut dengan asmara cinta. Biarpun pelbagai penguatkuasaan dan usaha membanteras dilakukan, namun ia terus berlaku dan semakin membimbangkan. Mereka tidak  faham apatah lagi tahu bagaimana melabuhkan cinta kepada yang lebih berhak.

Alangkah indahnya jika kita mampu mencintai Allah sepertimana kekasih Allah iaitu Rasulullah s.a.w.. Alangkah indahnya jika kita mampu mencintai Rasulullah sepertimana para sahabat mencintai Baginda. Alangkah bahagianya sebuah keluarga andai ia terbina dari cinta yang berputik sepertimana cinta Rasulullah terhadap isteri-isteri dan puteri-puteri Baginda. Betapa hebat dan istimewanya Rasulullah sehingga diangkat menjadi kekasih Allah s.w.t. 

Firman Allah s.w.t dalam surah At-Taghabun, ayat 12 yang bermaksud:
'Dan taatilah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas nyata'. 

Salah satu kisah yang boleh dijadikan contoh bagi cinta sebenar adalah kisah Abu Hurairah. Ketika Abu Hurairah hampir menemui ajalnya, mulutnya mengukir senyum dan wajahnya yang berseri-seri. Apabila ditanya mengapa wajahnya berseri-seri, beliau menjawab 'Bukankah kematian akan menemukan aku dengan Allah dan Rasulullah yang paling aku cintai?' Inilah bukti cinta sebenar sehingga di kalangan sahabat menjadikan kata-kata 'Bukankah mati syarat menemui cinta?' Kenyataan ini jauh benar tersasar dari trend cinta manusia zaman ini yang sanggup mati kerana cinta.  

Imam at-Tarmizi meriwayatkan bahawa Abdullah bin Mughaffal r.a berkata: 'Seseorang telah datang menemui Nabi SAW dan berkata; "Demi Allah, saya sangat kasih kepadaMu, ya Rasulullah". Jawab Nabi SAW: "Perhatikan benar-benar perkataanmu itu". Orang itu berkata : "Demi Allah, saya cinta kepadamu, ya Rasulullah" (diulangi sehingga tiga kali). Maka Nabi SAW bersabda : "Jika benar kamu cinta-kasih kepadaku, maka bersiap-sedialah menghadapi kemiskinan, kesusahan, persiapkanlah dirimu dengan baju (benteng iman) yang kukuh (agar dapat menghadapi segala kemungkinan susah payah), kerana kemiskinan susah payah itu lebih cepat datangnya kepada orang yang cinta-kasih kepadaku melebihi kecepatan (air) banjir ke dalam jurang (lembah yang dalam)".'  


Ya Allah Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang... Sesungguhnya persoalan yang diaujukan kepadaku ini benar-benar menyentak jiwaku. Menggerakkan aku untuk memperhalusi pencarian ilmu dan bermuhasanah diri tentang cintaku kepadaMU. Betapa aku kadangkala melupakanmu, apatah lagi mengingati kekasihMu.. Tapi aku bersyukur kepadaMu Ya Allah kerana aku masih bisa mendapat limpahan rahmat dan kasih sayangMu... Ya Allah, aku tidak mahu hanyut dalam gelora cinta manusia. Kerna kutahu, cintaku hanya layak untukMu dan kekasihMu. Kudambakan cinta kasihMu... 

Saturday, March 6, 2010

Berkat Doa Anak Soleh...

Kebelakangan ini kita sering terdengar kisah 'Si Tanggang Moden'. Tidak perlu saya mengulas panjang mengenainya. Tapi sekadar ingin membawa satu dimensi berbeza mengenainya melalui satu kisah teladan. Tak mustahil ramai yang tahu. Apa yang lebih penting, melalui perkongsian ini mudah-mudahan kita dapat bermuhasabah diri dan menjadi anak yang lebih baik, insyaAllah...

Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah s.w.t. Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah s.w.t.. Nabi Musa sering bertanya dan Allah s.w.t. akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain. Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah s.w.t.. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?". Allah s.w.t pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan. Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik. Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa. "Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar,Allah s.w.t. telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah s.w.t. itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah s.w.t.. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.


"Setiap hari aku berdoa kepada Allah s.w.t. agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah s.w.t. menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah s.w.t. masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi. Maka ketika itu juga Allah s.w.t. menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh di sisi Kami." Allah s.w.t. juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh di sisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga." 


Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak. Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa. Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah s.w.t. supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah s.w.t. Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur. Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan dinilai dengan besarnya wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah s.w.t. 

Ibubapa hanya satu. Hargai dan sayangilah mereka selagi mereka masih ada... 

Thursday, March 4, 2010

Aku Menangis... Maka Tangisan Itu Telah Cukup...

Aku menangis semasa persahabatan yang murni menjadi satu kemustahilan...
Aku menangis semasa kejujuran menjadi perbuatan yang jarang dilakukan...
Aku menangis semasa keikhlasan berubah menjadi pengkhianatan...
Aku menangis semasa kemungkaran berubah menjadi kebajikan...
Aku menangis semasa aku melihat keadilan dianggap tindakan memalukan dan menindas dianggap sebagai undang-undang...
Aku menangis semasa ajaran agama kita dan luhur budaya kita mengalami kemunduran...
Aku menangis semasa kebendaan telah memperkosa nilai-nilai luhur dan prinsip-prinsip kebaikan, sehingga orang yang zalim berubah menjadi miskin dan orang yang dizalimi berubah menjadi zalim dan penindas...
Aku menangis kerana perasaan malas dan menangguhkan kesungguhan itu muncul...


MENANGIS KERANA ALLAH

Daripada Ibnu Abbas r. anhuma katanya, aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda;“Dua (jenis) mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka: Mata yang menangis akibat ketakutan kepada Allah dan mata yang tidak tidur berjaga di jalan Allah.” (At-Tirmizi). Dalam satu hadith yang lain: “Wajah yang dibasahi oleh air mata kerana takutkan Allah s.w.t.., walau bagaimana sedikit pun air mata itu, terselamat dari api neraka.”Bukan sahaja wajah yang terselamat, tetapi seluruh badannya dan orang itu ialah ahli syurga.

Airmata memberi syafaat kepada tuannya di hari kiamat dengan izin Allah. Menangislah kerana Allah. Pelepah tamar dan buraq pun menangis. Pelepah tamar menangis kerana Nabi tidak lagi menggunakan sebagai  mimbar masjid, akhirnya dimasukkan ke dalam syurga. Bura’ juga menangis kerana takut tidak dipilih nabi sebagai tunggangan.  Usah kita bazirkan airmata kerana manusia kerana hal-hal dunia. Tapi, menangislah kerana kita ingin bertaubat dan kembali kepadaNya. Menangislah kerana kita sedar betapa kerdilnya diri kita sebagai hambaNya. Menangislah kerana kita malu begitu sedikitnya amal ibadah yang kita telah lakukan sebagai khalifah di muka bumi. Menangislah kerana kita tunduk dan bersyukur di atas segala nikmatNya. Malah, menangislah andai Allah belum menimpakan ujian disebalik kesenangan yang kita miliki...

"Apabila dibacakan ayat-ayat Allah yang Maha Pemurah kepada mereka, 
maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis"    
(Surah Maryam, ayat 58)


Monday, March 1, 2010

Janganlah Engkau Habiskan Waktumu untuk Keinginan Nafsu..

Bayangkanlah bahawa jika kita telah memiliki apa yang kita inginkan dari angan-angan dan impian serta mencapai apa yang kita dambakan. Namun, segala apa yang dimiliki tiba-tiba hilang begitu sahaja. Pada saat itu, pasti kita akan menangis, mengeluh, menyeswal sambil menggigit jari kerana apa yang telah hilang.Namun, adakah kita pernah memperhatikan bahawa sebenarnya kesedihan itu telah hilang bersama tanpa kita sedari?

Sesungguhnya umur kita adalah permata yang sangat berharga sekali dan tidak ternilai dengan suatu apa pun. Umur adalah ibarat hembusan nafas; setiap hembusan nafas yang keluar dari kita selamanya tidak akan kembali kepada kita. Hembusan nafas ini merupakan modal utama kita di dunia kerana dengannya kita dapat memiliki dan melakukan apa yang kita sukai dari kesenangan syurga. Dunia hanya sementara dan akhiratlah yang kekal selamanya. Amalan kita di dunia ibarat tuaian kita untuk bekalan di akhirat kelak. Tuaian yang baik akan menghasilkan tanaman yang baik, begitu jugalah sebaliknya. Oleh yang demikian, kita sebenarnya tiada sebab untuk terus leka dengan perhiasan dunia.

Benar, kita hanya manusia biasa yang tidak lari dari melakukan khilaf dan dosa. Tapi apa yang lebih penting adalah kita belajar dari kesilapan yang telah kita lakukan. Ibarat pepatah Inggeris, 'forget the mistake and remember the lesson'...

Rasulullah s.a.w bersabda kepada Aisyah r.a (dalam peristiwa berita bohong).
'Jika engkau merasa pernah berbuat dosa, mohonlah ampunan kepada Allah dan bertaubatlah kepadaNya. Sesungguhnya seorang hamba itu apabila mahu mengakui dosanya, maka Allah akan menerima taubatnya..'