Tuesday, June 22, 2010

Cahaya Pencinta Ilmu

Perkongsian tajuk ini saya ambil daripada sebuah buku bertajuk Cahaya Pencinta Ilmu oleh Al Alamah As Syekh Azzarnuji ra dan diterjemah oleh Faqir Muhammad Syafie bin Abdullah. Sebahagian besar penulisan ini saya ambil dari buku tersebut. Semoga kita mendapat manfaat bersama. 



Pada suatu hari, datang seorang sahabat menemui Nabi saw dengan mengajukan pertanyaan : ' Wahai Rasulullah, apakah amalan yang paling utama? Jawab Rasululah saw ; 'Ilmu pengetahuan tentang Allah.' Sahabat itu bertanya lagi : 'Ilmu apa yang Nabi maksudkan?' Jawab Nabi saw :'Ilmu pengetahuan tentang Allah SWT'. Rupa-rupanya sahabat itu menyangka Rasulullah salah faham, ditegaskan lagi. 'Wahai Rasulullah, kami bertanya tentang amalan, sedangkan Nabi menjawab tentang ilmuNya'. Jawab Nabi saw ; 'Sesungguhnya sedikit amalan akan berfaedah apabila disertai dengan ilmu tentang Allah Taala dan banyak amalan tidak akan bermanfaat apabila disertai dengan kejahilan tentang Allah'.

Menuntut ilmu itu adalah wajib sepertimana dalam sabda Rasulullah yang bermaksud 'Menuntut ilmu itu wajib atas setiap lelaki yang Islam dan perempuan yang Islam'. Ketahuilah bahawa setiap lelaki dan perempuan yang beragama Islam tidak wajib menuntut pelbagai ilmu. Apa yang wajib ialah menuntut ilmu perlakuan iaitu Usuluddin dan Feqah. Pencarian dan penghayatan ilmu inilah yang perlu didahulukan kerana ia adalah sebaik-baik ilmu yang mampu memimpin kita ke arah kebaikan. 

Menuntut ilmu itu perlulah dimulai dengan niat. Niat agar ilmu yang dipelajari akan mendapat keredhaan Allah Taala dan berharap agar ia dapat menghilangkan kejahilan yang bersarang dalam diri. Ketika menuntut ilmu, pasangkanlah niat kesyukuran atas kenikmatan akal dan kesegaran tubuh badan. Ilmu itu perlu dituntut dengan kesungguhan sepertimana sabda Nabi saw 'Sesiapa yang menuntut sesuatu dengan bersungguh-sungguh nescaya ia dapat'. Orang yang menuntut ilmu juga perlu sentiasa menjaga pendengaran yakni mendengar dengan hikmah dan menjaga penglihatan kepada perkara-perkara yang buruk. Juga bersifat tawaddhu' iaitu takut kepada Allah. Jauhilah sifat takbur kerana ilmu itu tidak akan diperoleh jika ada perasaan takbur. Ini disebabkan oleh ilmu itu mampu menarik yang memilikinya ke arah tawaduk dan merendah diri, sedangkan takbur itu pula menafikannya. . 

Muliakan dan hormatilah guru. Tidak akan sampai sesuatu ilmu yang dipelajari di mana saja kecuali dengan memuliakan guru dan ilmu. Antara membesar dan memuliakan seorang guru adalah tidak berjalan dihadapannya, tidak duduk ditempatnya dan tidak memulakan percakapan kecuali mendapat keizinannya. Kurangkanlah bercakap ketika berada di sisinya.Jauhilah perkara yang mendatangkan kemarahan seorang guru. 

Sebaik-baik orang yang menuntut ilmu itu ada wudhu' sebelum menyentuh dan mengambil kitab/buku. Tidak menghancurkan kitab/buku dengan kaki dan meletakkannya di tempat yang baik. Abu Hanifah telah melihat seorang sedang mengecilkan tulisan kitabnya, lalu mereka menegurnya dengan berkata, 'Janganlah anda mengecilkan tulisan anda itu kerana jika anda hidup sekalipun, sudah tentu anda akan menyesal dan sebaiknya jika anda mati nescaya anda akan dimaki hamun. Dalam erti kata lain, mereka yang membacanya akan memaki hamun anda dan jika anda masih hidup dan sudah tua serta penglihatan mata pun sudah kabur dan lemah, sudah tentu anda akan menyesal akan perbuatan anda itu lantaran anda terasa sakit akibat membacanya pada masa itu'.

Satu lagi cara membesar dan memuliakan ilmu ialah menghormati dan membesarkan rakan-rakan seangkatan. Sebaik-baik orang yang menuntut ilmu itu adalah yang ingin mendapat kasih sayang dan lemah lembut dalam percakapan dengan guru dan rakan-rakannya agar dia mudah faham dan memperoleh faedah daripada mereka. Seelok-eloknya juga pemilihan ilmu yang dipelajari adalah melalui perbincangan dan kata sepakat dengan guru kerana guru sudah ada pengalaman dan pengetahuan mengenainya. 

Pilihlah teman dan sahabat yang menjuruskan kita menjadi orang yang pandai dan bersungguh-sungguh serta mampu menjadikan diri warak iaitu terpelihara daripada melakukan perkara-perkara yang haram. Jauhi dan larilah daripada berkawan dengan orang yang pemalas, lembab, banyak bercakap, yang suka memporakperandakan orang lain dan suka membuat fitnah antara sesama manusia. Ini kerana bertaulan dan berkawan dengannya akan mempengaruhi dan memberi kesan yang begitu mendalam kepada diri hasil  daripada kesan-kesan amalannya dan segala manfaat yang ada padanya. Berapa ramai orang yang baik menjadi rosak binasa dan jahat akibat kejahatan dan angkara orang lain.


Bersambung.....

Tuesday, June 15, 2010

For The Rest Of My Life..



Dedikasi buat insan yang amat disayangi dan dicintai...

C.I.N.T.A...

Cinta itu anugerah Ilahi
Mengakar di jiwa
Tumbuh di dalam hati
Subur dan suci
Bak embunan pagi
Cinta pada Ilahi
Cinta agung membawa ke syurga
Tapi cinta manusia 
Ada yang bahagia menikmatinya
Tapi
Ramai terjerat kerananya
Kerna cinta
Manusia tegar melakukan apa saja
Kerna cinta
Manusia lupa hukum agama
Kerna cinta
Seorang anak menjadi derhaka
Kerana cinta
Suamiisteri curang berjela
Kerna cinta
Orang lemah berlagak wira
Kerna cinta
Orang dengki membuat angkara
Kerna cinta
Niat jahat bertopeng mulia
Kerna cinta
Maruah diri tergadai begitu sahaja
Kerna cinta
Tiada lagi malu penutup muka
Kerna cinta
Manusia hilang segala-galanya
Begitulah dahsyatnya penangan cinta
Benar
Cinta itu memang buta
Kecuali bagi manusia yang mengenali cinta
Merasai cinta dan melabuhkan cintanya
Hanya keranaNya dan hanya kepadaNya
Usah kotori erti cinta
Jangan cemari makna cinta
Usah racuni sucinya cinta
Jangan robohi masjid cinta
Andai segalanya diabdi keranaNya
Carilah ia
Nikmatilah ia
Percayalah ia
Akan dimiliki setiap dari kita
Ujian dan dugaan pasti ada
Laluilah ia
Nikmatilah ia
Pasrahkan segalanya kepadaNya
Teguhkan iman mengabdi kepadaNya
Mohonlah kekuatan dan kesabaran
Panjatkanlah pertolongan dan keampunan
Hanya kepadaNya
Mudah-mudahan
Kemanisan cinta setiap manusia
Bisa dinikmati di pengakhirannya
Membawa ke syurga