Tuesday, October 19, 2010

Penawar Hati

Apakah yang kita lakukan untuk mengubat hati yang sedang resah gelisah, tidak sedap hati atau tidak tenteram? Kebanyakan kita biasanya tidak senang duduk dan hilang fokus dalam melakukan sesuatu. Fikiran juga sering melayang-layang di luar sedar. Barangkali ada yang memilih untuk menjerit atau menyanyi sekuat-kuatnya. Ada juga yang gemar mendengar lagu-lagu melayan jiwa. Tidak kurang juga yang ‘makan tak ingat dunia’ atau mengambil pil-pil penenang jiwa. Bahkan ada juga yang sampai berani melakukan sesuatu yang gila! Ini adalah beberapa cara kebiasaan kita untuk mententeramkan jiwa. Namun, semua itu adalah jalan singkat yang mungkin akan menjerat perasaan sendiri malah mungkin hingga memudaratkan diri. Lantas, bagaimana caranya kita mendapatkan penawar jiwa?

Terdapat satu kisah di mana pada suatu hari, seseorang telah datang kepada sahabat Rasulullah s.a.w yang bernama Ibn Mas’ud dan berkata, “Wahai Ibn Mas’ud, berilah nasihat yang dapatku jadikan ubat bagi jiwaku yang gelisah. Dalam beberapa hari ini, aku berasa tidak tenteram. Jiwaku gelisah dan fikiranku kusut.”

Ibn Mas’ud pun berkata, “Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, iaitu ke tempat orang membaca al-Quran, engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya, atau engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah, atau engkau cari waktu yang sunyi umpamanya dinihari, dan engkau dirikan solat memohon kepada Allah akan ketenangan jiwa. Sekiranya jiwamu belum terubat jua, maka mohonlah kepada Allah agar diberikan ketenangan jiwa kepadamu. Sebab hati yang menjadi milikmu sekarang ini, bukan lagi hatimu!”

Benar, melalui al-Quranlah jiwa akan menjadi tenang. Hal ini dikuatkan lagi dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
‘Dan Kami turunkan daripada al-Quran (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang beriman’ (Surah al-Isra’ ayat 82).

Banyakkan membaca al-Quran dan sebaiknya dalamilah maknanya. Dirikanlah solat dengan sebenar-benar khusyuk. Tujukanlah kaki untuk pergi ke majlis-majlis ilmu. Berdoalah kepada Allah memohon ditenangkan jiwa. Carilah teman yang boleh membantu mendekatkan diri kepadaNya. Mudah-mudahan kita memperoleh penawar jiwa.


Ikut rasa binasa, ikut hati mati. Bacalah al-Quran, dekatkan diri pada Ilahi. Itulah penawar hati. 

Wednesday, October 6, 2010

If I Knew...