Sunday, June 12, 2011

Syukur alhamdulillah kupanjatkan kepada Allah, Pencipta sekalian makhluk dan alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW. Setelah beberapa ketika, dapat jua saya mencoret sesuatu untuk perkongsian di blog ini. Terasa cepat benar masa berlalu. Dalam tidak sedar, cuti sekolah sudah sampai ke hujungnya. Sepanjang dua minggu bercuti, tidak banyak aktiviti besar yang dapat diisi. Namun ada beberapa yang berlaku yang pasti meninggalkan kenangan dan kesan yang tersendiri.

Tanggal 5 Jun yang lalu, genap setahun usia perkahwinan saya. Alhamdulillah, saya dan suami sempat meluangkan masa bercuti di Pulau Langkawi. Terasa sangat teruja, maklumlah pertama kali menjejakkan kaki ke sana. Banyak tempat menarik yang sempat dikujungi dan meninggalkan seribu satu kenangan yang cukup bererti. Mahu saja terus menetap di sana dek merasa terlalu tenang dan jauh dari memikirkan apa-apa. Terima kasih suamiku kerana menaja percutian ini. Percutian ini sangat bererti dan lebih bermakna dengan kehadiran baby dalam kandungan ini. Semoga kehadiran baby ini akan mengikat kasih sayang yang lebih dalam ikatan perkahwinan kami, insyaAllah.

Hari terakhir di sana iaitu pada 7 Jun, saya dikejutkan dengan berita kematian pakcik yang tinggal sekampung. Seakan tidak percaya tapi saya perlu menerima dengan redha. Saya sangat terkilan kerana tidak sempat menatap wajahnya buat kali terakhir kerana penerbangan saya dijadualkan pada malam tersebut. Hanya iringan doa yang mampu dikirimkan dari jauh. Al-Fatihah.

Bulan Jun ini juga menjadi detik bermakna antara saya dan beberapa sahabat. Tahniah kepada sahabat sekuliah, Dian Azrin yang selamat melahirkan baby girl pada 2 Jun yang lalu. Selamat Ulangtahun yang pertama yang jatuh pada hari ini. :) Semoga ikatan perkahwinan terus kukuh dan berbahagia selalu lebih-lebih lagi dengan kehadiran cahaya mata pertama. Terima kasih kepada sahabat saya Nur Khairunnisa yang sudi meluangkan masa untuk makan dan shopping bersama. Walaupun sekejap, ianya sangat bererti dalam persahabatan kami sejak di bangku sekolah menegah lagi. Tidak lupa juga kepada sahabat saya, Nur Hafizah yang sudi singgah sebenar menziarahi saya di rumah. Kehadirannya amat saya hargai memandangkan kekangan waktu yang sangat membataskan kami untuk berjumpa. Dalam tidak sedar sudah 3 bulan usia perkahwinannya bersama insan tercinta. Semoga dirimu sentiasa bahagia di samping suami dan keluarga tersayang.

Dalam hidup ini, tiada yang lebih indah selain disayangi oleh orang-orang yang kita sayangi. Saya sangat bersyukur masih mampu mempertahankan perkahwinan saya. Dugaan dan ujian sentiasa ada tapi saya yakin akan hikmah yang terselindung di sebaliknya. Saya sedari, perkahwinan bukan bererti memiliki tapi sejauh mana kita memberi. Begitu juga dengan persahabatan. Apa yang penting ialah sejauh mana kita menghargai kedua-duanya. 

Saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat pengantin baru buat teman-teman yang selamat melangsungkan perkahwinan sepanjang hujung cuti sekolah ini. Tahniah diucapkan. Semoga perkahwinan kalian kekal hingga ke akhir hayat. Akhir sekali, selamat kembali bertugas buat semua teman-teman dan rakan setugas yang bergelar guru. Selamat kembali ke sekolah juga buat semua anak didikku. Sesungguhnya mengajar dan belajar adalah satu ibadah. Sama-sama melaksanakannya dengan hati yang penuh ikhlas dan jiwa yang teguh.