Tuesday, August 16, 2011

Selagi Masih Bernafas...

Selagi masih bernafas
Kan kupertahankan rasa cinta ini
Untuk mencintaiMu juga kekasihMu
Menegakkan Din selagi berdaya
Dengan segenap jiwa dan raga...

Selagi masih bernafas
Kan kuhargai insan yang menyayangiku
Setulus ikhlas hati
Kuingin mereka tahu
Betapa kuingin sekali
Menghabiskan sisa waktu bersama
Walau ia seketika cuma

Selagi masih bernafas
Kan kuhabisi setiap detik yang berbaki
Untuk terus memperbaiki diri
Mencari Nur menuju Ilahi
Walau ranjau penuh duri
Kuharus gagahi
Demi sebuah kehidupan yang lebih bererti...

Selagi masih bernafas
Kan kutagih kemaafan menyucikan diri
Dari insan-insan yang pernah aku sakiti
Pada insan yang pernah aku derhakai
Kesalnya aku tidak terperi
Mengenang banyaknya khilaf diri...

Selagi masih bernafas
Takkan ku berputus harap
Memohon keampunan dariMu Ya Ghafur
Semakin jelas kudengari panggilanMu
Namun sempatkanlah aku Ya Robbi
Meninggalkan zuriat sebagai pewaris diri
Yang bisa menyambung amalanku di sini
Buat tambahan bekalanku di rumahMu yang abadi...

Monday, August 1, 2011

Selamat Datang Ramadhan...

Syukur alhamdulillah, aku masih bisa bernafas untuk menemui ramadhan buat kesekian kali. Ramadhan kali ini pastinya berbeza kerana aku menyambutnya dengan berbadan dua. Subhanallah... Terima kasih ya Allah... ia adalah pengalaman yang sangat bererti buat diriku. Terima kasih juga ya Allah kerana memperkenankan doaku untuk menemui seorang yang begitu istimewa dalam hidupku beberapa hari sebelum menjelangnya Ramadhan. Sungguh, aku merasa begitu terharu. Pertemuan yang singkat itu telah menyuntik seribu satu semangat dan ilham baru buat aku dan bayi dalam kandunganku. Alhamdulillah...

Hari ini adalah hari pertama puasa. Bagi aku, menahan lapar dan dahaga adalah lebih mudah berbanding menahan diri daripada melawan nafsu. Dalam keadaan aku ini, aku akui aku lebih sensitif. Apatah lagi dengan tanggungjawab mengajar yang semakin bertambah. Aku jadi kurang sabar.

Semoga dengan bersempena bulan penuh barokah ini, aku akan menjadi orang yang lebih sabar dan tabah, amin...

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w bersabda: 'Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan dia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya. ~Al Bukhari~