Monday, October 31, 2011

Zon Tunggu Hari

Alhamdulillah, sudah masuk minggu ke39. ini bererti saya berada dalam zon 'tunggu hari'. Sebagai persediaan, saya sememangnya sudahpun mula cuti bersalin awal. Jika ikutkan rasa, memang agak berat. Manakan tidak, sebahagian kerja-kerja rasmi saya terpaksa diserahkan kepada orang lain. Tapi apa boleh buat. Saya terpaksa. Apapun, saya amat berterima kasih kepada rakan sekerja yang  sudi mengambil alih tugas saya. Hanya Allah yang mampu membalasnya.

Kalau ikutkan hati, memang agak bosan duduk di rumah. Apatah lagi dengan ketiadaan tv. Hendak keluar berjalan pun, dah tak tahu hendak ke mana. Habis ceruk banting, kelang dan shah alam saya ronda. Mahu saja berjalan lebih jauh, tapi risau kalau ada sesuatu yang tak diingini berlaku dalam keadaan memandu bersendirian.

Tanda-tanda kecil nak bersalin sudahpun dirasakan. Saya cuba bertenang dan bersiap siaga apa yang perlu. Segala teori dan tips-tips menjelang kelahiran dah saya tanya dan baca. Tinggal lagi untuk mempraktikkannya sahaja. Terima kasih kepada suami, keluarga dan rakan-rakan yang selalu memberi nasihat dan mendoakan kesihatan saya dan baby.

Jauh di sudut hati, saya berharap dapat meraikan Hari Raya Qurban sebelum bertarung nyawa melahirkan zuriat ini. Manalah tahu, itu adalah kali terakhir saya meraikannya. Apapun, yang paling penting saya selamat melahirkannya. Dan semoga saya sempat untuk menyusukan dan membesarkannya menjadi anak yang soleh. amin...

Tuesday, October 4, 2011

36...

Syukur alhamdulillah, akhirnya dapat juga kembali menulis sesuatu di blog ini. Gembira rasanya dapat berkongsi walaupun perkongsian itu tidak seberapa. 36.. Ya, minggu ini sudah masuk minggu ke36 kandungan saya. Terasa banyak perubahan yang dialami terutama tahap pengembangan badan yang agak mendadak. Ibarat kata usikan rakan sekerja, 'dah kembang semangkuk'... Apapun, saya merasa begitu bersyukur kerana saya dan baby berada dalam keadaan yang sihat dan stabil.

Melangkah masuk minggu ke36 ini sudah tentu memberi pengalaman berbeza. Mana tidaknya, debaran kelahiran semakin terasa. Ada beberapa kali saya bermimpi bersalin. Tapi yang peliknya, baru baring dek kerana sakit nak bersalin, tau-tau baby saya sudah lahir dan berada di sisi saya. Alangkah bagusnya kalau realitinya begitu. hehe...

Seakan tidak percaya saya bakal bergelar ibu tidak lama lagi. Lebih bermakna kalau baby dapat dilahirkan sehari lebih awal dari tarikh due, iaitu pada hari raya aidiladha, 6 november bersamaan 10 zulhijjah 1432H. Pasti ia akan menjadi tarikh lagenda yang lebih mudah diingati.

Hakikatnya, bukan mudah nak mengusung perut 24jam ke sana ke mari. Dengan pernafasan yang lebih mudah semput, pinggang yang kerap sakit dan sentiasa tidak senang duduk, itu adalah beberapa cabaran kecil bergelar bakal ibu. Pergerakan ke sana ke mari agak terbatas. Hendak bangun daripada duduk pun tidak semudah dahulu. Tapi semua itu adalah pengalaman. Kesusahan itulah yang menjadi gedung pahala buat diri seorang wanita.

Jauh di sudut hati, adakalanya airmata saya menitis bila mengenangkan arwah ibu yang telah pergi hampir 15 tahun yang lalu. Kalaulah arwah dapat bersama-sama berkongsi detik kelahiran bayi dalam kandungan ini. Masih terbayang wajah suci arwah yang begitu gigih mendidik saya dan adik-beradik lain dengan penuh kasih sayang. Walaupun saya hanya sempat merasai nikmat kasih sayang seorang ibu selama 13tahun, tapi pengalaman itu sangat bererti dan tidak pernah pudar dalam ingatan saya. Emak adalah idola saya. Terfikir di minda, adakah saya mampu menjadi seorang ibu hebat sepertinya? Ketabahan dan kesabarannya begitu luar biasa. Mudah-mudahan saya juga begitu, insyaAllah...

Anak adalah amanah Allah yang tiada tolok nilaiannya. Mudah-mudahan saya dan suami sempat  mendidik dan membentuk anak ini menjadi manusia yang soleh dan berguna pada agama dan bangsa, insyaAllah...

Ya Allah, berilah aku kesihatan dan kecergasan tubuh badan untuk terus beribadah kepadaMu... Semoga Engkau masih menginzinkan aku untuk bernafas sehingga bayi dalam kandunganku ini selamat lahir ke dunia, amin ya Robbal a'lamin...