Assalamualaikum w.b.t.
Alhamdulillah, sekali lagi saya berkesempatan untuk berkongsi sesuatu di laman ini. Saya tidak berniat untuk mengaibkan diri saya ataupun sesiapa. Cukuplah ianya menjadi iktibar dan pengajaran buat sesiapa saja yang membaca.
Pertamanya syukur alhamdulillah kerana blog ini masih mampu saya pertahankan. Pernah beberapa kali saya mengambil keputusan untuk menamatkannya sahaja. Tapi entah kenapa hati saya berat. Ya, berat untuk melepaskan sesuatu yang saya sayang. Blog ini saya usahakan dengan satu niat untuk berkongsi ilmu dan pengalaman. Dan apa yang lebih penting ialah, blog ini saya inspirasikan buat seseorang yang amat saya sayang. Tanpa dorongannya, tak mungkin blog ini boleh wujud.
Seawalnya, memang saya rasa amat gembira dan berpuas hati dengan terciptanya blog ini. Sehinggalah satu peringkat, blog saya dikecam hebat oleh beberapa komen yang agak menyinggung perasaan saya malah mengaibkan saya secara global. Saya redha, mungkin inilah sebahagian kesan negatif penggunaan internet yang saya kira menjadi wadah yang semakin penting untuk kita meluahkan isi hati secara berleluasa.
Blog ini adalah contoh lain seperti twitter malah facebook ini menjadi wadah yang sangat baik dan berkesan untuk menyampaikan maklumat. Cumanya bergantung kepada kita bagaimana mahu memanfaatkannya. Setiap perkara baik akan dihitung berlipat ganda. Ayuh, marilah kita berusaha ke arah itu. Tapi jika sebaliknya, terimalah padah dosanya yang berlipat ganda. Setiap tulisan yang terpapar di skrin internet ada nilai pahala dan dosanya. Sama-sama renungkan...
Tuesday, May 3, 2011
Thursday, April 21, 2011
Hati Yang Bersih...
Assalamualaikum w.b.t..
Rasanya sudah lama benar blog ini tidak dikemaskini. alhamdulillah, pada saat ini tiba-tiba terdetik di hati untuk berkongsi sesuatu yang terbuku di hati. Hati yang bersih... Itulah tajuk perkongsian saya.
Rasanya sudah lama benar blog ini tidak dikemaskini. alhamdulillah, pada saat ini tiba-tiba terdetik di hati untuk berkongsi sesuatu yang terbuku di hati. Hati yang bersih... Itulah tajuk perkongsian saya.
Barangkali, semua orang pernah mendengar manusia dinilai berdasarkan hatinya. Ya, sekeping hati. Saya akui, saya bukanlah seorang yang sempurna. Malah, memiliki seribu satu kekurangan dan kelemahan. Sentiasa melakukan kesilapan. Namun, sebagai manusia saya belajar untuk memperbaiki diri. Dalam ajaran Islam sememangnya ada mengajar, bilamana kita sedari kita ini ada melakukan kesalahan dan kesilapan maka mohonlah keampunan kepada Allah. Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Kita juga diajar untuk meminta maaf dan belajar untuk memaafkan kesalahan orang lain. Mana mungkin seorang hamba yang lemah seperti kita begitu hebat sehingga tidak pernah terlanjur melakukan salah dan silap.
Benar, adakalanya bukan mudah untuk kita memaafkan kesalahan orang lain. Tapi, siapakah kita untuk tidak memafkan orang lain? Apapun, kemaafan itu memerlukan masa. Luka yang berdarah tentunya memerlukan masa untuk sembuh. Itu fitrah. Dalam proses memberi kemaafan dan melupakan sesuatu, janganlah diungkit kisah itu. Berdoalah sebanyak-banyaknya kepada Allah agar diberi kekuatan dan kesabaran untuk menerimanya dengan redha dan berlapang dada.
Apa yang seringkali terjadi, disaat kita sudah beransur memafkan ada pula hati-hati yang jahat cuba menyimbah racun. Astaghafirullahala'zim... mudah-mudahan Allah memafkan golongan ini. Bukan mudah untuk kita memastikan hati kita sentiasa bersih. Tapi amatlah mudah untuk hati kita menjadi kotor dan busuk. Yakni, hati-hati yang selalu dengki dan iri hati di atas kesenangan dan kebahagiaan orang lain. Matanya, telinganya, mulutnya, tangan dan kakinya cukup aktif bertindak mencari kesalahan orang lain. Mengapakah sampai jadi begini? Jawapannya mudah saja, hatinya belum lagi bersih...
Selagi ada hati-hati yang tidak bersih ini, maka banyaklah rumahtangga yang bakal berantakan. Makin banyaklah hubungan yang terputus di tengah jalan. Makin banyaklah pergaduhan sesama manusia. Malah, tidak mustahil boleh membawa kepada berbunuh-bunuhan sesama insan.
Saya mengajak diri saya dan menyeru kepada semua pembaca, marilah kita sama-sama membersihkan hati kita. Bersihnya hati dapat dinilai melalui manisnya bicara, indahnya akhlak dan tingginya peribadi. Berusahalah sedaya upaya untuk menjadi lebih baik dan bukan sibuk mencari kelemahan orang lain. Bergembira dan berbahagialah kerana memiliki hati yang bersih dan bukannya bergembira kerana menghalang-halangi orang lain untuk mempunyai hati yang bersih.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi hati...
Tuesday, December 7, 2010
Di Saat Aku Memerlukan...
Ya Allah yang Maha Penjaga
Di saat aku kehilangan seseorang
Kau datangkan kepadaku seseorang sebagai ganti
Yang dapat menumpahkan kasih dan perhatian
Agar aku tidak merasa keseorangan
Ya Allah yang Maha Pengasih,
Di saat aku memerlukan seseorang
Kau datangkan kepadaku seorang teman
Berkongsi kegembiraan dan kesedihan
Setianya tiada tolok bandingan
Sedia berkorban harta dan perasaan
Ya Allah yang Maha Penyayang,
Di saat aku membutuhkan pedoman
Kau datangkan kepadaku
Seorang insan yang berpegang teguh kepada Al Quran
Memberi aku petunjuk jalan
Agar aku bisa kembali ke landasan iman
Ya Allah Yang Maha Pemberi Kekuatan,
Di saat aku menghadapi dugaan dan ujian
Kau datangkan kepadaku seorang insan
Yang meniupkan semangat dan sokongan
Agar aku tetap sabar dan bertahan
Meneruskan hidup dengan penuh ketabahan
Ya Allah yang Maha Pemberi
Di saat aku memerlukan sesuatu keperluan
Kau datangkan kepadaku seseorang
Yang menghulurkan tangan dan bantuan
Agar aku dapat meneruskan kehidupan
Dengan penuh rasa kecukupan
Ya Allah yang Maha Membuka
Di saat aku melakukan dosa dan kekhilafan
Kau temukan aku kepada seseorang
Yang telah menyentak mata hati dan perasaan
Agar aku sedar dari kesilapan
Untuk bertaubat mencari keampunan
Ya Allah yang Maha Penerima Taubat
Setelah aku tersedar dari kesilapan
Kau tidak datangkan kepadaku seseorang
Kerna Kau inginkan aku
Menyandarkan seluruhnya kepadaMU
segenap harapan dan pergantungan
Tuesday, October 19, 2010
Penawar Hati
Apakah yang kita lakukan untuk mengubat hati yang sedang resah gelisah, tidak sedap hati atau tidak tenteram? Kebanyakan kita biasanya tidak senang duduk dan hilang fokus dalam melakukan sesuatu. Fikiran juga sering melayang-layang di luar sedar. Barangkali ada yang memilih untuk menjerit atau menyanyi sekuat-kuatnya. Ada juga yang gemar mendengar lagu-lagu melayan jiwa. Tidak kurang juga yang ‘makan tak ingat dunia’ atau mengambil pil-pil penenang jiwa. Bahkan ada juga yang sampai berani melakukan sesuatu yang gila! Ini adalah beberapa cara kebiasaan kita untuk mententeramkan jiwa. Namun, semua itu adalah jalan singkat yang mungkin akan menjerat perasaan sendiri malah mungkin hingga memudaratkan diri. Lantas, bagaimana caranya kita mendapatkan penawar jiwa?
Terdapat satu kisah di mana pada suatu hari, seseorang telah datang kepada sahabat Rasulullah s.a.w yang bernama Ibn Mas’ud dan berkata, “Wahai Ibn Mas’ud, berilah nasihat yang dapatku jadikan ubat bagi jiwaku yang gelisah. Dalam beberapa hari ini, aku berasa tidak tenteram. Jiwaku gelisah dan fikiranku kusut.”
Ibn Mas’ud pun berkata, “Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, iaitu ke tempat orang membaca al-Quran, engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya, atau engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah, atau engkau cari waktu yang sunyi umpamanya dinihari, dan engkau dirikan solat memohon kepada Allah akan ketenangan jiwa. Sekiranya jiwamu belum terubat jua, maka mohonlah kepada Allah agar diberikan ketenangan jiwa kepadamu. Sebab hati yang menjadi milikmu sekarang ini, bukan lagi hatimu!”
Benar, melalui al-Quranlah jiwa akan menjadi tenang. Hal ini dikuatkan lagi dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
‘Dan Kami turunkan daripada al-Quran (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang beriman’ (Surah al-Isra’ ayat 82).
Banyakkan membaca al-Quran dan sebaiknya dalamilah maknanya. Dirikanlah solat dengan sebenar-benar khusyuk. Tujukanlah kaki untuk pergi ke majlis-majlis ilmu. Berdoalah kepada Allah memohon ditenangkan jiwa. Carilah teman yang boleh membantu mendekatkan diri kepadaNya. Mudah-mudahan kita memperoleh penawar jiwa.
Ikut rasa binasa, ikut hati mati. Bacalah al-Quran, dekatkan diri pada Ilahi. Itulah penawar hati.
Wednesday, October 6, 2010
Wednesday, August 25, 2010
Bacalah...
Tahukah kita bahawa, mengikut statistik yang diketengahkan oleh Dr. Raghib al-Sirjani dalam satu kajiannya pada tahun 1996 mendapati rakyat Malaysia hanya membaca 2 buah buku setahun. Angka ini amat jauh berbeza sekali dengan rakyat Jepun yang membaca purata 40 buah buku setahun. Pada tahun 2005, satu lagi kajian dijalankan terhadap 60,441 orang mendapati tiada perubahan pada tabiat membaca rakyat Malaysia di mana kita masih membaca 2 buah buku setahun. Jenis bahan bacaan yang dibaca pula adalah 77.4% surat khabar, 3% majalah, 3% buku dan 1.6% komik. (Sumber, The Star, 16 Julai 2006).
Dari satu sudut berbeza, sebagai umat Islam mari kita lihat pula bahan bacaan apakah yang perlu kita baca mengikut prioriti piramid bacaan.
1. Al-Quran al- Karim
2. Hadis Rasulullah s.a.w
3. Ilmu-ilmu asas syariah- aqidah, fiqah dan akhlak
4. Buku-buku pengkhususan ilmu/pengetahuan am
5. Buku motivasi dan pengalaman hidup orang lain yang mempunyai ‘ibrah(pengajaran)
6. Buku tentang pendidikan anak-anak, keluarga, masyarakat dan lain-lain
7. Bacaan hiburan yang tidak tersasar daripada ajaran Islam-seperti novel, sajak dan sebagainya.
3. Ilmu-ilmu asas syariah- aqidah, fiqah dan akhlak
4. Buku-buku pengkhususan ilmu/pengetahuan am
5. Buku motivasi dan pengalaman hidup orang lain yang mempunyai ‘ibrah(pengajaran)
6. Buku tentang pendidikan anak-anak, keluarga, masyarakat dan lain-lain
7. Bacaan hiburan yang tidak tersasar daripada ajaran Islam-seperti novel, sajak dan sebagainya.
Ayuh, mari kita lihat dan muhasabah diri sendiri sejauh manakah kita membudayakah amalan membaca dalam hidup kita dan adakah bahan bacaan yang kita baca itu benar-benar seperti yang digariskan dalam piramid bacaan? Pada penulisan kali ini, cukuplah kiranya saya mengupas budaya membaca al-Quran di kalangan kita pada hari ini.
Saya pasti, bersempena bulan Ramadhan al-Mubarakh ini ramai umat Islam berlumba-lumba melakukan tadarus al-Quran baik di peringkat sekolah, surau-surau mahupun masjid-masjid. Tidak kurang pula ada yang menyasarkan untuk khatam al-Quran dalam bulan mulia ini. Alhamdulillah dan tahniah bagi segolongan kita yang boleh membaca dan masih terbuka hati untuk membaca. Namun, bagaimana pula dengan segolongan lagi yang tahu membaca tetapi tidak mahu membaca ayat-ayat suci al-Quran? Bagaimana pula segolongan lagi yang tidak tahu membaca dan itulah alasan mengapa dia tidak membaca al-Quran?
Saya tidak ingin mengupas isu ini terlalu dalam. Cukuplah saya memberi contoh sinario di sekolah saya sendiri. Saya fikir mungkin ianya juga mewakili sekolah-sekolah lain di negara ini yang tidak jauh bezanya. Bersempena bulan Ramadhan sekolah saya juga tidak ketinggalan mengadakan tadarus al-Quran. Melalui tadarus ini saya mendapat gambaran kasar bahawa semakin ramai pelajar-pelajar Islam yang tidak tahu membaca al-Quran. Hanya sedikit bilangan yang tahu dan lancar membaca al-Quran. Banyak sedikit pelajar yang tahu membaca tetapi tidak lancar dan lebih ramai pelajar yang memang langsung tidak tahu membaca al-Quran. Lebih menyedihkan apabila terdapat segelintir kecil tidak pernah sekalipun memegang al-Quran apatah lagi membaca isi kandungannya.
Sempat saya bertanya beberapa soalan kepada salah seorang pelajar dari kumpulan saya. Saya amat memuji sikapnya yang masih datang ke surau walaupun dia tidak tahu membaca jika dibandingkan dengan pelajar lain yang terang-terang melarikan diri dari bertadarus. Percaya atau tidak dia hanya menghafal dua surah iaitu Surah an-Nas dan al-Ikhlas. Surah itulah yang selalu diulang-ulang dalam solat 5 waktu. Berikut adalah sebahagian dialog perbualan saya dengan pelajar tingkatan 3 tersebut.
Cikgu : Masa awak sekolah rendah, ada pergi ke sekolah petang(agama)?
Pelajar : Ada
Cikgu : Ayah tahu baca al-Quran?
Pelajar : Tak
Cikgu : Emak?
Pelajar : Tak
Cikgu : Kakak atau abang?
Pelajar : Ada, kakak saya tahu baca al-Quran.
Cikgu : Kakak selalu mengaji?
Pelajar : Ya, kakak selalu mengaji lepas solat.
Cikgu : Hmm, kalau macam tu lepas ni boleh tak awak mintak tolong kakak ajarkan awak mengaji?
Pelajar : Boleh, tapi.. hujung minggu je. Kakak kerja kat Shah Alam dan balik hujung minggu.
Cikgu : Ok, xpe. Yang penting awak cuba belajar dari sekarang. Kalau perlu, awak beritahu ayah supaya hantarawak ke rumah orang untuk belajar mengaji, boleh?
Pelajar : Boleh.
Cikgu : Awak rasa penting tak belajar mengaji ni? Kenapa?
Pelajar : Penting sebab nanti bila mati Allah tanya dalam bahasa Arab
Jauh di sudut hati, saya amat mengagumi semangat pelajar tersebut. Namun hati saya juga merasa kasihan kerana pada umur sepertinya itu bukankah sepatutnya sudah boleh sekurang-kurangnya sekali dia khatam membaca al-Quran? Melalui perbualan tersebut, sama-sama renungkan mengapakah pelajar tersebut tidak tahu membaca al-Quran. Maaf, saya tidak berniat untuk mengaibkan pelajar tersebut. Namun itulah realiti kualiti pelajar Muslim pada hari ini. Ini baru bicara membaca al-Quran yang sememangnya perlu menjadi bahan bacaan utama seorang Muslim. Belum lagi bicara membaca bahan bacaan yang lain.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w sebelum baginda wafat :
“Kutinggalkan untuk kamu dua perkara (pusaka), taklah kamu akan tersesat selama-lamanya selama kamu masih berpegang kepada keduanya iaitu Kitabullah (Al-Quran) dan Sunnah Rasul-Nya”.
Melalui wasiat tersebut, amat jelas bahawa Al-Quran itu bukan sahaja untuk dibaca malah kita hendaklah berpegang teguh kepada Al-Quran. Dalam erti kata lain, adalah menjadi kewajipan bagi kita untuk mendalami isi kandungan al-Quran. Di dalam al-Quran bukan sahaja terkandung ayat-ayat berkaitan hukum-hakam malah mengandungi pelbagai bidang ilmu seperti sains, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Di dalamnya juga terkandung cara hidup dan akidah, kisah-kisah teladan, perjuangan Nabi-nabi menyebarkan Islam dan bukti-bukti penciptaan seluruh alam ini.
Membaca al-Quran atau mengaji adalah amalan ritual sahaja. Sesungguhnya pembacaan al-Quran itu telah dimudahkan dan diterjemahkan dalam bahasa kita. Membaca al-Quran bukan hanya menyebut perkataan Arabnya sahaja. Tetapi konsep membacanya perlulah diikuti dengan kefahaman, penyerapan dan amalan. Secara peribadi, saya amat bersetuju dengan penulisan dan buah fikiran Pahrol Mohamad Juoi dalam artikelnya yang bertajuk ‘Hidupkan Roh Iqra’’(Solusi, isu no.18). Dalam penulisannya ada menyebut, ‘Roh iqra’ perlu dihidupkan dan disemarakkan kembali. Dengan roh iqra’ masyarakat Jahliyyah dipulihkan dengan itu juga Jahiliyyah moden ini dirawat. Roh Iqra’ sangat dekat dengan al-Quran. Bukankah al-Quran itu sendiri bererti bacaan sinonim dengan makna iqra’ yang bermaksud bacalah’.
Berbalik kepada kisah pelajar tadi, marilah kita sama-sama menghidupkan roh iqra’ dalam diri masing-masing. Pendidikan membaca al-Quran dari usia yang lebih awal amat perlu agar anak-anak kita ini tidak terus keciciran dan buta huruf al-Quran. Tidak lain, peranan ini sewajibnya dimainkan oleh ibubapa di rumah. Peranan ini juga tidak lain perlu dipikul sama oleh guru-guru terutamanya para ustaz dan ustazah di sekolah. Peranan Pak Imam di surau dan masjid juga penting dalam sama-sama menggalang budaya membaca al-Quran di kalangan penduduk setempat melalui kelas mengaji al-Quran. Tidak ketinggalan peranan media massa yang saya kira mampu mempengaruhi penonton dan pendengar melalui program-program khas seperti Mari Mengaji, Mari Bertaranum, Tilawah Interaktif dan sebagainya.
Saya amat yakin bahawa sekiranya penerapan budaya membaca al-Quran bermula dari kecil, diikuti dengan penghayatan dan pemahaman yang mendalam dan seterusnya diterjemah dalam konteks amalan seharian tidak mustahil segala macam bahana gejala sosial akan beransur selesai. Penekanan peri pentingnya mempelajari al-Quran harus dipandang selari dengan pentingnya ilmu akademik. Jika ibubapa sanggup mengeluarkan beratus ringgit untuk menghantar anak ke kelas tuisyen, mengapa begitu lokek untuk memberi wang ihsan kepada Pak Ustaz yang boleh mengajar anak membaca al-Quran sedangkan nilainya mungkin hanya tidak sampai rm50 sebulan? Adakah mempelajari bacaan al-Quran itu tidak penting sedangkan para ilmuan Islam terdahulu semuanya menjadikan al-Quran sebagai rujukan sehingga mereka mampu melonjakkan Islam kepada zaman kegemilangan?
Siapa lagi yang akan membaca dan memartabatkan al-Quran kalau bukan kita sebagai umat Muhammad s.a.w sendiri? Senaskah al-Quran beserta terjemahan yang kualitinya agak baik itu harganya sekitar rm80.00 tetapi manfaatnya hingga mampu membawa kita ke akhirat kelak. Malah dengan kemajuan pendidikan kini, al-Quran juga telah terbit bukan sahaja beserta terjemahan, malah meliputi tajwid, himpunan kisah-kisah nabi dan para khalifah ar-rashidin malah diceriakan dengan pelbagai warna pada tulisan bagi menarik minat kepada pembaca untuk membacanya. Di zaman millennium ini juga sudah terdapat al-Quran digital yang mudah dibawa ke mana saja. Semuanya di hujung jari. Cuma yang tinggal, kemahuan kita sendiri. Tiada alasan untuk kita tidak membaca al-Quran meskipun kita tidak memahami sepatahpun huruf atau bahasa Arab. Dalam erti kata lain, al-Quran beserta terjemahan kan ada..
Firman Allah dalam surah Maryam, ayat 97 yang bermaksud:
‘Maka sesungguhnya telah kami mudahkan al-Quran itu dengan bahasamu agar kamu dapat memberi khabar gembira dengan al-Quran itu kepada orang-orang yang bertaqwa, dan agar kamu memberi peringatan dengannya kepada kaum yang membangkang.’
Bersempena bulan Ramadhan ini, marilah kita sama-sama imarahkan dengan membaca al-Quran, malah cuba memahami terjemahannya. Bacalah al-Quran dengan seikhlas hati mudah-mudahan kita mampu menjadi seorang hamba Allah yang lebih baik. Sesungguhnya al-Quran itu mampu mendidik jiwa agar lebih tenang dan tenteram. Sekiranya kita sekadar membaca tanpa memahami, maka yang kita perolehi hanyalah pahala. Sedangkan sekiranya kita mampu memahami dan mengamalkannya ganjaran Allah adalah lebih besar lagi.
Rujukan :
1. Solusi, isu no.18 : Di Sebalik Iqra’.
Salam Ramadhan untuk semua. Saya mengambil kesempatan momohon ampun dan maaf sekiranya terdapat baris penulisan saya yang mempunyai kesalahan atau menyingggung mana-mana pihak. Penulisan saya ini adalah luahan hati saya dan tidak lebih dari sekadar perkongsian untuk muhasabah diri sendiri dan peringatan bagi yang membacanya. Mohon beri teguran dan komen yang membina agar penulisan saya boleh ditambah baik untuk perkongsian bersama.
Tuesday, August 17, 2010
Siti Khadijah Ummul Mukminin
Siti Khadijah...
Srikandi sejati.. Kaulah lambang cinta sejati.. Serikandi pertama tika Islam bermula.. Hatimu menyalakan keyakinan..
Hartamu membuktikan pengorbanan..
Siti Khadijah adalah antara empat wanita terbaik di dunia yang telah dijanjikan Syurga sepertimana dalam sabda Rasulullah saw :
‘Cukuplah bagimu empat wanita terbaik di dunia iaitu Maryam bt Imran, Siti Khadijah bt Khuwailid, Fatimah bt Muhammad dan Asiah, isteri Fir’aun.
(Hadith Riwayat Ahmad, Abdurrazaq, Tirmidzi, Ibnu Hibban dan Hakim)
Ayuh kita kenali dengan lebih dekat, wanita hebat ini. Nama penuh beliau ialah Siti Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai. Bapanya bernama Khuwailid bin Asad manakala ibunya bernama Fatimah bin Zaidah. Beliau lahir pada tahun 68 sebelum Hijrah. Khadijah berasal daripada kabilah Bani Asad dari suku kaum Quraisy. Nasab Khadijah dari sebelah bapanya berhimpun dengan nasab Rasulullah saw pada datuknya yang keempat iaitu Qushai bin Kilab.
Kemuliaan dan ketinggian pekerti Siti Khadijah dikenali sebelum kedatangan Islam yang di bawa oleh Muhammad saw. Beliau berasal daripada keturunan bangsawan dan disegani oleh penduduk Quraisy Mekah serta memiliki nasab yang mulia. Bapanya adalah seorang tokoh pembesar Quraisy yang terkenal hartawan dan dermawan. Pada zaman Jahiliyyah, Khadijah tidak seperti wanita Quraisy lain. Beliau memiliki kehormatan, kedudukan yang tinggi, keimanan yang sejati, berjiwa besar dan perilaku yang suci. Di dalam jiwanya, banyak merasakan kegelisahan terhadap fahaman dan amalan Jahiliyyah yang bertentangan dengan norma-noma kehidupan. Namun, Khadijah tetap konsisten menganut agama Hanif, agama yang dibawa oleh nabi Ibrahim a.s yang berlandaskan tauhid. Keperibadian yang suci itulah beliau mendapat gelaran ath-Thairah (wanita suci) sebelum kedatangan Islam, ajaran yang dibawa oleh Muhammad saw.
Siti Khadijah berkahwin dengan Rasulullah saw saat usianya 40 tahun. Sebelum itu, beliau telah berkahwin dua kali dengan Abu Halah At-Tamimi dan Atiq Al-Makhzumi. Setelah kematian kedua suaminya, ramai lelaki yang silih berganti melamar tetapi Khadijah telah menolaknya secara halus sehinggalah beliau mengenali seorang pemuda yang bernama Muhammad bin Abdullah. Khadijah amat terpikat dengan kejujuran dan keluhuran budi Muhammad yang telah berjaya mengembangkan perniagaannya dan memperoleh keuntungan yang jauh lebih besar. Malah, Muhammad memiliki ciri-ciri lelaki idaman yang cukup cocok sebagai suami. Berita lamaran Khadijah telah disampaikan oleh sahabat karibnya iaitu Nafisah. Muhammad menerima lamaran tersebut dengan gembira walaupun sedikit terkejut. Baginda tidak pernah bermimpi akan bernikah dengan seorang wanita yang bergelar hartawan, jelita, mulia dan berkedudukan tinggi seperti Siti Khadijah.
Pernikahan Khadijah dengan Rasulullah saw yang ketika itu berumur 25tahun berlangsung pada hari Jumaat, dua bulan setelah kembalinya Rasulullah saw dari Syam. Mereka merupakan pasangan yang sangat bahagia. Walaupun usia Khadijah ketika itu berumur 40tahun, dengan kuasa Allah swt beliau telah dikurniakan enam orang anak. Zainab merupakan anak pertama yang dilahirkan Khadijah. Setelah itu lahir pula Umi Kalthum, Ruqayyah, Qasim, Fatimah dan Abdullah.
Kedua-dua anak lelakinya meninggal sewaktu kecil. Semasa kematian Qasim iaitu putera pertama beliau, Siti Khadijah mengalami tamparan yang cukup hebat. Ini keranan susu di badan Siti Khadijah masih menitis semasa Qasim meninggal dunia. Sehinggakan Rasullullah terpaksa menenangkannya dengan memperlihatkan mukjizat baginda dengan memperdengarkan suara Qasim di Syurga sehingga Siti Khadijah kembali tenteram.
Pengorbanan dan kesucian cinta Khadijah tiada tolok bandingannya. Semasa nabi berkhalwat dan bersendirian di Gua Hira’, Siti Khadijah tidak pernah bermasam muka malah beliaulah yang menyiapkan makanan dan keperluan nabi saw. Beliau sanggup mendaki Gua Hira’ dan membawa bekalan makanan walau dalam keadaan usianya yang sudah lanjut. Siti Khadijah merupakan orang pertama yang mendengar wahyu yang disampaikan Jibril kepada Nabi Muhammad saw dan menjadi wanita pertama memeluk Islam.
Siti Khadijah menjadi tulang belakang di dalam usaha dakwah nabi sehingga akhir hayat beliau. Belaiu sanggup mengorbankan seluruh jiwa raga malah menghabiskan segala harta yang dimiliki dalam mendukung usaha menyebarkan dakwah Islamiah. Sehinggalah akhir tahun ketujuh kenabian, orang Quraisy telah mengenakan sekatan yang amat dahsyat terhadap umat Islam iaitu kepada Bani Hasyim. Walaupun Siti Khadijah tidak termasuk dalam pemulauan itu tetapi beliau tetap bersama dengan nabi. Pada awal pemulauan, beliau berjaya menyeludup makanan masuk melalui rangkaian perniagaannya. Namun ianya tidak lama dan disedari oleh pihak Quraisy. Sehinggalah satu keadaan, Siti Khadijah terpaksa memakan daun-daun kerana ketiadaan bekalan makanan.
Akibat daripada dugaan berat tersebut beliau akhirnya sakit tenat, pada usia 64tahun 6 bulan iaitu pada 11 Ramadhan, iaitu tiga tahun sebelum peristiwa Hijrah dan Isra’ Mikraj dan setelah Bani Hasyim bebas dari kaum Quraisy yang kejam. Beliau meninggal setelah menyelesaikan kewajibannya sebagai isteri, sahabat, pelindung, sandaran hati Rasulullah saw selama 25 tahun.
Semasa Siti Khadijah wafat, Nabi Muhammad saw sendiri telah mengangkat beliau dengan tangannya dan meletakkannya ke dalam liang lahad. Begitulah cinta dan kasihnya Rasulullah saw kepada isterinya Siti Khadijah. Pemergiannya benar-benar dirasai.
Sabda Rasulullah saw,
’Allah tidak pernah memberiku pengganti yang lebih baik dari khadijah. Ia telah beriman kepadaku ketika orang lain kufur, dia mempercayaiku ketika orang-orang mendustaiku. Dia memberikan hartanya kepadaku ketika tidak ada orang lain yang membantuku. Dan, Allah SWT juga menganugerahkan aku anak-anak melalui rahimnya, sementara isteri-isteriku yang lain tidak memberikan aku anak.’
Siti Khadijah adalah cinta pertama Rasulullah saw. Padanya terhimpun segenap cinta, kasih sayang dan kelembutan seorang isteri dan juga ibu sehingga digelar ummul mukminin (ibu orang-orang mukmin). Nama Siti khadijah tetap hidup dan segar dalam ingatan Rasulullah saw. Walaupun baginda telah berkahwin lagi setelah itu, namun di bibirnya sentiasa menyebut-nyebut nama Siti Khadijah sehingga menimbulkan perasaan cemburu kepada isterinya yang lain terutamanya Siti Aisyah. Baginda sering mengatakan kepada Aisyah :
‘Sungguh aku telah menerima rezeki berupa cintanya. Maka aku mencintai setiap orang yang mencintainya.’ –HR Muslim
Rasulullah saw acapkali menginagti setiap butir kata Siti Khadijah dan sentiasa menjaga hubungan kekeluargaan serta dengan teman-temannya. Baginda juga kerapkali menyebut-nyebut kebaikan isterinya Siti Khadijah di hadapan para sahabat. Betapa hebatnya Siti Khadijah.
Subscribe to:
Posts (Atom)
