Tuesday, August 16, 2011

Selagi Masih Bernafas...

Selagi masih bernafas
Kan kupertahankan rasa cinta ini
Untuk mencintaiMu juga kekasihMu
Menegakkan Din selagi berdaya
Dengan segenap jiwa dan raga...

Selagi masih bernafas
Kan kuhargai insan yang menyayangiku
Setulus ikhlas hati
Kuingin mereka tahu
Betapa kuingin sekali
Menghabiskan sisa waktu bersama
Walau ia seketika cuma

Selagi masih bernafas
Kan kuhabisi setiap detik yang berbaki
Untuk terus memperbaiki diri
Mencari Nur menuju Ilahi
Walau ranjau penuh duri
Kuharus gagahi
Demi sebuah kehidupan yang lebih bererti...

Selagi masih bernafas
Kan kutagih kemaafan menyucikan diri
Dari insan-insan yang pernah aku sakiti
Pada insan yang pernah aku derhakai
Kesalnya aku tidak terperi
Mengenang banyaknya khilaf diri...

Selagi masih bernafas
Takkan ku berputus harap
Memohon keampunan dariMu Ya Ghafur
Semakin jelas kudengari panggilanMu
Namun sempatkanlah aku Ya Robbi
Meninggalkan zuriat sebagai pewaris diri
Yang bisa menyambung amalanku di sini
Buat tambahan bekalanku di rumahMu yang abadi...

Monday, August 1, 2011

Selamat Datang Ramadhan...

Syukur alhamdulillah, aku masih bisa bernafas untuk menemui ramadhan buat kesekian kali. Ramadhan kali ini pastinya berbeza kerana aku menyambutnya dengan berbadan dua. Subhanallah... Terima kasih ya Allah... ia adalah pengalaman yang sangat bererti buat diriku. Terima kasih juga ya Allah kerana memperkenankan doaku untuk menemui seorang yang begitu istimewa dalam hidupku beberapa hari sebelum menjelangnya Ramadhan. Sungguh, aku merasa begitu terharu. Pertemuan yang singkat itu telah menyuntik seribu satu semangat dan ilham baru buat aku dan bayi dalam kandunganku. Alhamdulillah...

Hari ini adalah hari pertama puasa. Bagi aku, menahan lapar dan dahaga adalah lebih mudah berbanding menahan diri daripada melawan nafsu. Dalam keadaan aku ini, aku akui aku lebih sensitif. Apatah lagi dengan tanggungjawab mengajar yang semakin bertambah. Aku jadi kurang sabar.

Semoga dengan bersempena bulan penuh barokah ini, aku akan menjadi orang yang lebih sabar dan tabah, amin...

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w bersabda: 'Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan dia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya. ~Al Bukhari~

Sunday, June 12, 2011

Syukur alhamdulillah kupanjatkan kepada Allah, Pencipta sekalian makhluk dan alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW. Setelah beberapa ketika, dapat jua saya mencoret sesuatu untuk perkongsian di blog ini. Terasa cepat benar masa berlalu. Dalam tidak sedar, cuti sekolah sudah sampai ke hujungnya. Sepanjang dua minggu bercuti, tidak banyak aktiviti besar yang dapat diisi. Namun ada beberapa yang berlaku yang pasti meninggalkan kenangan dan kesan yang tersendiri.

Tanggal 5 Jun yang lalu, genap setahun usia perkahwinan saya. Alhamdulillah, saya dan suami sempat meluangkan masa bercuti di Pulau Langkawi. Terasa sangat teruja, maklumlah pertama kali menjejakkan kaki ke sana. Banyak tempat menarik yang sempat dikujungi dan meninggalkan seribu satu kenangan yang cukup bererti. Mahu saja terus menetap di sana dek merasa terlalu tenang dan jauh dari memikirkan apa-apa. Terima kasih suamiku kerana menaja percutian ini. Percutian ini sangat bererti dan lebih bermakna dengan kehadiran baby dalam kandungan ini. Semoga kehadiran baby ini akan mengikat kasih sayang yang lebih dalam ikatan perkahwinan kami, insyaAllah.

Hari terakhir di sana iaitu pada 7 Jun, saya dikejutkan dengan berita kematian pakcik yang tinggal sekampung. Seakan tidak percaya tapi saya perlu menerima dengan redha. Saya sangat terkilan kerana tidak sempat menatap wajahnya buat kali terakhir kerana penerbangan saya dijadualkan pada malam tersebut. Hanya iringan doa yang mampu dikirimkan dari jauh. Al-Fatihah.

Bulan Jun ini juga menjadi detik bermakna antara saya dan beberapa sahabat. Tahniah kepada sahabat sekuliah, Dian Azrin yang selamat melahirkan baby girl pada 2 Jun yang lalu. Selamat Ulangtahun yang pertama yang jatuh pada hari ini. :) Semoga ikatan perkahwinan terus kukuh dan berbahagia selalu lebih-lebih lagi dengan kehadiran cahaya mata pertama. Terima kasih kepada sahabat saya Nur Khairunnisa yang sudi meluangkan masa untuk makan dan shopping bersama. Walaupun sekejap, ianya sangat bererti dalam persahabatan kami sejak di bangku sekolah menegah lagi. Tidak lupa juga kepada sahabat saya, Nur Hafizah yang sudi singgah sebenar menziarahi saya di rumah. Kehadirannya amat saya hargai memandangkan kekangan waktu yang sangat membataskan kami untuk berjumpa. Dalam tidak sedar sudah 3 bulan usia perkahwinannya bersama insan tercinta. Semoga dirimu sentiasa bahagia di samping suami dan keluarga tersayang.

Dalam hidup ini, tiada yang lebih indah selain disayangi oleh orang-orang yang kita sayangi. Saya sangat bersyukur masih mampu mempertahankan perkahwinan saya. Dugaan dan ujian sentiasa ada tapi saya yakin akan hikmah yang terselindung di sebaliknya. Saya sedari, perkahwinan bukan bererti memiliki tapi sejauh mana kita memberi. Begitu juga dengan persahabatan. Apa yang penting ialah sejauh mana kita menghargai kedua-duanya. 

Saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat pengantin baru buat teman-teman yang selamat melangsungkan perkahwinan sepanjang hujung cuti sekolah ini. Tahniah diucapkan. Semoga perkahwinan kalian kekal hingga ke akhir hayat. Akhir sekali, selamat kembali bertugas buat semua teman-teman dan rakan setugas yang bergelar guru. Selamat kembali ke sekolah juga buat semua anak didikku. Sesungguhnya mengajar dan belajar adalah satu ibadah. Sama-sama melaksanakannya dengan hati yang penuh ikhlas dan jiwa yang teguh.

Tuesday, May 3, 2011

Sesuatu...

Assalamualaikum w.b.t.
Alhamdulillah, sekali lagi saya berkesempatan untuk berkongsi sesuatu di laman ini. Saya tidak berniat untuk mengaibkan diri saya ataupun sesiapa. Cukuplah ianya menjadi iktibar dan pengajaran buat sesiapa saja yang membaca.

Pertamanya syukur alhamdulillah kerana blog ini masih mampu saya pertahankan. Pernah beberapa kali saya mengambil keputusan untuk menamatkannya sahaja. Tapi entah kenapa hati saya berat. Ya, berat untuk melepaskan sesuatu yang saya sayang. Blog ini saya usahakan dengan satu niat untuk berkongsi ilmu dan pengalaman. Dan apa yang lebih penting ialah, blog ini saya inspirasikan buat seseorang yang amat saya sayang. Tanpa dorongannya, tak mungkin blog ini boleh wujud.

Seawalnya, memang saya rasa amat gembira dan berpuas hati dengan terciptanya blog ini. Sehinggalah satu peringkat, blog saya dikecam hebat oleh beberapa komen yang agak menyinggung perasaan saya malah mengaibkan saya secara global. Saya redha, mungkin inilah sebahagian kesan negatif penggunaan internet yang saya kira menjadi wadah yang semakin penting untuk kita meluahkan isi hati secara berleluasa.

Blog ini adalah contoh lain seperti twitter malah facebook ini menjadi wadah yang sangat baik dan berkesan untuk menyampaikan maklumat. Cumanya bergantung kepada kita bagaimana mahu memanfaatkannya. Setiap perkara baik akan dihitung berlipat ganda. Ayuh, marilah kita berusaha ke arah itu. Tapi jika sebaliknya, terimalah padah dosanya yang berlipat ganda. Setiap tulisan yang terpapar di skrin internet ada nilai pahala dan dosanya. Sama-sama renungkan...

Thursday, April 21, 2011

Hati Yang Bersih...

Assalamualaikum w.b.t..

Rasanya sudah lama benar blog ini tidak dikemaskini. alhamdulillah, pada saat ini tiba-tiba terdetik di hati untuk berkongsi sesuatu yang terbuku di hati. Hati yang bersih... Itulah tajuk perkongsian saya.

Barangkali, semua orang pernah mendengar manusia dinilai berdasarkan hatinya. Ya, sekeping hati. Saya akui, saya bukanlah seorang yang sempurna. Malah, memiliki seribu satu kekurangan dan kelemahan. Sentiasa melakukan kesilapan. Namun, sebagai manusia saya belajar untuk memperbaiki diri. Dalam ajaran Islam sememangnya ada mengajar, bilamana kita sedari kita ini ada melakukan kesalahan dan kesilapan maka mohonlah keampunan kepada Allah. Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Kita juga diajar untuk meminta maaf dan belajar untuk memaafkan kesalahan orang lain. Mana mungkin seorang hamba yang lemah seperti kita begitu hebat sehingga tidak pernah terlanjur melakukan salah dan silap. 

Benar, adakalanya bukan mudah untuk kita memaafkan kesalahan orang lain. Tapi, siapakah kita untuk tidak memafkan orang lain? Apapun, kemaafan itu memerlukan masa. Luka yang berdarah tentunya memerlukan masa untuk sembuh. Itu fitrah. Dalam proses memberi kemaafan dan melupakan sesuatu, janganlah diungkit kisah itu. Berdoalah sebanyak-banyaknya kepada Allah agar diberi kekuatan dan kesabaran untuk menerimanya dengan redha dan berlapang dada.

Apa yang seringkali terjadi, disaat kita sudah beransur memafkan ada pula hati-hati yang jahat cuba menyimbah racun. Astaghafirullahala'zim... mudah-mudahan Allah memafkan golongan ini. Bukan mudah untuk kita memastikan hati kita sentiasa bersih. Tapi amatlah mudah untuk hati kita menjadi kotor dan busuk. Yakni, hati-hati yang selalu dengki dan iri hati di atas kesenangan dan kebahagiaan orang lain. Matanya, telinganya, mulutnya, tangan dan kakinya cukup aktif bertindak mencari kesalahan orang lain. Mengapakah sampai jadi begini? Jawapannya mudah saja, hatinya belum lagi bersih...

Selagi ada hati-hati yang tidak bersih ini, maka banyaklah rumahtangga yang bakal berantakan. Makin banyaklah hubungan yang terputus di tengah jalan. Makin banyaklah pergaduhan sesama manusia. Malah, tidak mustahil boleh membawa kepada berbunuh-bunuhan sesama insan. 

Saya mengajak diri saya dan menyeru kepada semua pembaca, marilah kita sama-sama membersihkan hati kita. Bersihnya hati dapat dinilai melalui manisnya bicara, indahnya akhlak dan tingginya peribadi. Berusahalah sedaya upaya untuk menjadi lebih baik dan bukan sibuk mencari kelemahan orang lain. Bergembira dan berbahagialah kerana memiliki hati yang bersih dan bukannya bergembira kerana menghalang-halangi orang lain untuk mempunyai hati yang bersih. 

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi hati...



Tuesday, December 7, 2010

Di Saat Aku Memerlukan...


Ya Allah yang Maha Penjaga
Di saat aku kehilangan seseorang
Kau datangkan kepadaku seseorang sebagai ganti
Yang dapat menumpahkan kasih dan perhatian
Agar aku tidak merasa keseorangan

Ya Allah yang Maha Pengasih,
Di saat aku memerlukan seseorang
Kau datangkan kepadaku seorang teman
Berkongsi kegembiraan dan kesedihan
Setianya tiada tolok bandingan
Sedia berkorban harta dan perasaan

Ya Allah yang Maha Penyayang,
Di saat aku membutuhkan pedoman
Kau datangkan kepadaku
Seorang insan yang berpegang teguh kepada Al Quran
Memberi aku petunjuk jalan
Agar aku bisa kembali ke landasan iman

Ya Allah Yang Maha Pemberi Kekuatan,
Di saat aku menghadapi dugaan dan ujian
Kau datangkan kepadaku seorang insan
Yang meniupkan semangat dan sokongan
Agar aku tetap sabar dan bertahan
Meneruskan hidup dengan penuh ketabahan

Ya Allah yang Maha Pemberi
Di saat aku memerlukan sesuatu keperluan
Kau datangkan kepadaku seseorang
Yang menghulurkan tangan dan bantuan
Agar aku dapat meneruskan kehidupan
Dengan penuh rasa kecukupan

Ya Allah yang Maha Membuka
Di saat aku melakukan dosa dan kekhilafan
Kau temukan aku kepada seseorang
Yang telah menyentak mata hati dan perasaan
Agar aku sedar dari kesilapan
Untuk bertaubat mencari keampunan

Ya Allah yang Maha Penerima Taubat
Setelah aku tersedar dari kesilapan
Kau tidak datangkan kepadaku seseorang
Kerna Kau inginkan aku
Menyandarkan seluruhnya kepadaMU
segenap harapan dan pergantungan

Tuesday, October 19, 2010

Penawar Hati

Apakah yang kita lakukan untuk mengubat hati yang sedang resah gelisah, tidak sedap hati atau tidak tenteram? Kebanyakan kita biasanya tidak senang duduk dan hilang fokus dalam melakukan sesuatu. Fikiran juga sering melayang-layang di luar sedar. Barangkali ada yang memilih untuk menjerit atau menyanyi sekuat-kuatnya. Ada juga yang gemar mendengar lagu-lagu melayan jiwa. Tidak kurang juga yang ‘makan tak ingat dunia’ atau mengambil pil-pil penenang jiwa. Bahkan ada juga yang sampai berani melakukan sesuatu yang gila! Ini adalah beberapa cara kebiasaan kita untuk mententeramkan jiwa. Namun, semua itu adalah jalan singkat yang mungkin akan menjerat perasaan sendiri malah mungkin hingga memudaratkan diri. Lantas, bagaimana caranya kita mendapatkan penawar jiwa?

Terdapat satu kisah di mana pada suatu hari, seseorang telah datang kepada sahabat Rasulullah s.a.w yang bernama Ibn Mas’ud dan berkata, “Wahai Ibn Mas’ud, berilah nasihat yang dapatku jadikan ubat bagi jiwaku yang gelisah. Dalam beberapa hari ini, aku berasa tidak tenteram. Jiwaku gelisah dan fikiranku kusut.”

Ibn Mas’ud pun berkata, “Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, iaitu ke tempat orang membaca al-Quran, engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya, atau engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah, atau engkau cari waktu yang sunyi umpamanya dinihari, dan engkau dirikan solat memohon kepada Allah akan ketenangan jiwa. Sekiranya jiwamu belum terubat jua, maka mohonlah kepada Allah agar diberikan ketenangan jiwa kepadamu. Sebab hati yang menjadi milikmu sekarang ini, bukan lagi hatimu!”

Benar, melalui al-Quranlah jiwa akan menjadi tenang. Hal ini dikuatkan lagi dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
‘Dan Kami turunkan daripada al-Quran (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang beriman’ (Surah al-Isra’ ayat 82).

Banyakkan membaca al-Quran dan sebaiknya dalamilah maknanya. Dirikanlah solat dengan sebenar-benar khusyuk. Tujukanlah kaki untuk pergi ke majlis-majlis ilmu. Berdoalah kepada Allah memohon ditenangkan jiwa. Carilah teman yang boleh membantu mendekatkan diri kepadaNya. Mudah-mudahan kita memperoleh penawar jiwa.


Ikut rasa binasa, ikut hati mati. Bacalah al-Quran, dekatkan diri pada Ilahi. Itulah penawar hati.