Sunday, February 28, 2010

Bermulanya Perjuangan Hidupku...


Percaya atau tidak, perjuangan hidupku bermula ketika aku berusia 13tahun iaitu pada tanggal 25 Disember 1996... Mungkin bagi sesetegah orang, usia ini terlalu muda tapi itulah realitinya. Itulah hari yang paling banyak airmataku tumpah dari kelopaknya. Malah hari itu jugalah aku merasa betapa gelapnya dunia. Sepi, sunyi dan hiba kerana pada hari keramat itulah aku telah kehilangan orang yang paling aku sayang dan cintai iaitu ibuku, almarhum Marsidah bt Sahudi. Walaupun doktor mengesahkan ibu meninggal kerana penyakit paru-paru berair dan asma, tapi aku lebih percaya bahawa ibu pergi kerana Allah lebih menyayangi dirinya... Dalam keadaan yang sarat dengan kesedihan, aku cuba belajar untuk redha dengan ketentuan Allah...
Betapa sukarnya untuk aku melalui setiap saat berlalu hanya Tuhan yang tahu. Aku belajar untuk hidup sebagai anak piatu tanpa kasih sayang ibu dalam usiaku yang baru melangkah ke alam remaja.. Mulai tarikh itu juga, aku belajar tidur tanpa memeluk ibu.. Aku belajar untuk makan masakan yang bukan hasil air tangan ibu.. Aku belajar untuk berkongsi cerita bukan dengan insan bernama ibu.. Pemergian ibu benar-benar mengajar aku erti ketabahan dan hidup berdikari.
Masih segar kata-kata ibu bahawa akulah anak yang paling disayangi walaupun menurut ibu aku jugalah anak yang paling degil sekali. Benar, dalam adik-beradikku yang seramai enam orang akulah yang paling nakal dan agresif. Aku akan memberontak sekiranya kemahuanku tidak ditunaikan. Namun begitu, aku juga amat sensetif dan mudah mengalirkan airmata. Aku ingat lagi betapa kasihnya ibuku sehingga sanggup menyelamatkanku dari dipukul dan dimarahi abah kerana kesalahan yang telah kulakukan. Aku bersalah dan berdosa pada ibu. Aku menyesal kerna tidak sempat menebus segala dosa-dosaku dan berbakti kepadanya. Maha Suci Allah.. Dengan penuh kekesalan, setelah pemergian ibu, aku juga belajar untuk lebih menghargai kehebatan dan pengorbanan dan keberadaan seorang ibu...
Kini, sudah lebih 13 tahun ibu pergi. Sejak itu, aku melihat betapa pentingnya KASIH SAYANG dalam kehidupan apatah lagi dari ibubapa dan keluarga. Aku melihat diriku sendiri, walaupun masih mempunyai abah dan adik-beradik, tapi hatiku masih kosong. Aku berusaha agar kekosonganku sentiasa terisi kerana aku percaya, fitrah seorang manusia untuk merasa disayangi dan menyayangi.
Tetapi apa yang terjadi sekarang amat menyedihkan. Konsep kasih sayang tidak difahami secara betul dan mendalam oleh kebanyakan dari kita. Kerana sayang, maruah diri sanggup digadaikan, kerana sayang ada nyawa yang melayang.. Buktinya amat banyak di dada akhbar dan sering kedengaran di corong-corong televisyen. Siapalah aku untuk menuding jari ke arah sesiapa. Tapi, jauh di lubuk hatiku, sebagai seorang ahli masyarakat, apakah yang mampu aku lakukan untuk memperbaiki dan memperbetulkan keadaan ini?
Aku sedar aku bukanlah sehebat mana. Hanya seorang guru muda yang baru setahun jagung dalam kerjaya. Ilmuku tak sampai setitik air di lautan, pengalamanku sejengkal cuma. Aku bukan ingin menjadi pejuang kasih sayang, tapi lebih besar dari itu. Aku ingin berjuang membangunkan anak bangsa seagamaku. Semoga Allah meredhai perjuangan hidupku ini...