Monday, August 1, 2011

Selamat Datang Ramadhan...

Syukur alhamdulillah, aku masih bisa bernafas untuk menemui ramadhan buat kesekian kali. Ramadhan kali ini pastinya berbeza kerana aku menyambutnya dengan berbadan dua. Subhanallah... Terima kasih ya Allah... ia adalah pengalaman yang sangat bererti buat diriku. Terima kasih juga ya Allah kerana memperkenankan doaku untuk menemui seorang yang begitu istimewa dalam hidupku beberapa hari sebelum menjelangnya Ramadhan. Sungguh, aku merasa begitu terharu. Pertemuan yang singkat itu telah menyuntik seribu satu semangat dan ilham baru buat aku dan bayi dalam kandunganku. Alhamdulillah...

Hari ini adalah hari pertama puasa. Bagi aku, menahan lapar dan dahaga adalah lebih mudah berbanding menahan diri daripada melawan nafsu. Dalam keadaan aku ini, aku akui aku lebih sensitif. Apatah lagi dengan tanggungjawab mengajar yang semakin bertambah. Aku jadi kurang sabar.

Semoga dengan bersempena bulan penuh barokah ini, aku akan menjadi orang yang lebih sabar dan tabah, amin...

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w bersabda: 'Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan dia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya. ~Al Bukhari~