Sunday, May 9, 2010

Sedarkah Kita?

Baru-baru ini buat pertama kalinya saya melihat proses pengguguran bayi melalui video seorang sahabat di laman facebook. Astaghfirullah hala’zim… Beristighfar panjang saya. Ngeri, takut, jijik, marah dan macam-macam perasaan lagi yang bermain di fikiran melihat bagaimana kejinya perbuatan itu. Di mana sifat peri kemanusiaan seorang yang bergelar manusia? Sedangkan binatang pun takkan berbuat begitu!

Pengguguran bayi bukanlah satu kes baru yang berlaku dalam masyarakat kita. Malah, ianya seakan satu tren bagi ‘penggemar’ zina. Bukan berniat untuk menghukum, tapi berdasarkan fakta ternyata zina adalah punca utama pengguguran bayi. Bila sudah ‘ter’mengandung, mana mungkin mahu dibawa ke sana ke mari perut yang semakin membonyot. Dan sudah pasti, mana nak letakkan muka bila diketahui ibubapa dan masyarakat. Maka jalan yang paling mudah dan cepat adalah menggugurkannya.

Sebahagian yang lain pula masih mampu mengandungkannya. Di sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Bayi yang dikandung selama 9 bulan itu akhirnya dibuang dengan pelbagai cara. Ada yang dibuang di masjid, longkang, sungai dan yang dibakar pun ada. Ada yang dijumpai masih hidup, ada juga yang sudah mati. Walau apapun alasannya, ia tetap perbuatan dosa. Berdasarkan perangkaan Balai Polis Bulit Aman, tahun lalu saja kes buang bayi yang dilaporkan adalah sebanyak 83 kes. Tapi saya percaya jumlah sebenar adalah lebih besar.

Ada juga anak tidak berdosa hasil zina ini dapat terus hidup seperti anak-anak lain. Tapi yang berbeza cuma status mereka iaitu anak luar nikah. Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Negara (JPN), terdapat 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Ini bermakna secara purata 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat! Sebagai tambahan, statistik tahun 1999 sehingga 2003 menyaksikan sebanyak 30,978 dari 70,430 kelahiran anak luar nikah ialah dari anak orang islam. Selangor menjuarai dengan 12,836 orang.
(Sumber : http://isuhangat.blogspot.com/2009/11/statistik-pendaftaran-kelahiran-anak.html)

Sebagai seorang yang beragama Islam dan berbangsa Melayu, saya merasa begitu malu, sedih dan kesal dengan ketiga-tiga senario ini. Bukankah mereka tahu bahawa zina itu salah satu dosa besar?

Firman Allah swt dalam surah al-Israk, ayat 32 yang bermaksud;
‘Dan janganlah kamu menghampiri zina, (kerana) sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan membawa kerosakkan’.

Sabda Nabi saw. ‘Tidak ada sebarang dosa yang lebih besar selepas syirik selain daripada setitik air mani yang ditumpahkan oleh seseorang ke dalam rahim yang tidak halal baginya”.

Sabda Nabi saw lagi, ‘Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi mengutuk orang yang berzina dan bau kemaluan pelacur di dalam neraka dapat mengganggu ahli neraka kerana sangat busuknya’.

Tidak dinafikan pelbagai usaha dan gerakan telah dilakukan oleh pihak kerajaan dan NGO bagi menangani masalah ini. Peruntukan wang berjuta-juta telah dilaburkan semata-mata mahu memanusiakan manusia ini. Tapi, sejauh mana keberkesanannya? Saban hari, saban bulan malah saban tahun kes-kes demikian semakin bertambah. Di mana silapnya?

Di sebalik usaha untuk menubuhkan rumah perlindungan gadis terlanjur seperti Rumah Raudatus Sakinah, berapa banyak pusat hiburan yang dibuka? Di sebalik terbitnya bahan bacaan berunsur keagamaan melalui media cetak dan elektronik, bandingkan pula berapa banyak terbitnya bahan berunsur seks dan lucah? Di sebalik usaha untuk menyiarkan rancangan berbentuk keagamaan, berapa banyak pula rancangan berbentuk hiburan yang sudah pasti dapat melekakan kita? Hiburan seperti rancangan reliti tv itulah sebenarnya yang telah meracun pemikiran umat Islam. Bila sudah 'khusyuk' menonton, pastinya solat entah ke mana. Belum lagi bicara soal pakaian. Bila Lady Gaga dijadikan idola, sudah pasti cara pemakaian kita juga bisa persis sepertinya. Sama-sama fikirkan…

Secara peribadi, saya melihat perkara ini hanya dapat ditangani sekiranya kita kembali kepada fitrah dan ajaran Ilahi melalui kitab Al-Quran panduan umat seluruh alam. Al-Quran itu bukan sekadar untuk dibaca dan dilagukan, tapi perlu dipraktikkan dalam kehidupan. Pendidikan dalam memahami kandungan al-Quran itu yang perlu diberi penekanan. Kerana apa, secara sedar atau tidak umat Islam kini semakin jauh dari ajaran Islam sebenar. Islam itu hanya tidak lebih atas tiket keturunan dan ikut-ikutan.

Siapalah saya untuk bercakap tentang agama apatah lagi menasihati orang lain mengenainya. Sedangkan saya sendiri tidak sesempurna mana. Malah, tidak langsung terlintas untuk mengaibkan atau menuding jari ke arah sesiapa. Penulisan saya ini tidak lebih dari mengingati diri saya sendiri dan selebihnya kepada orang lain yang masih celik hatinya. Mari kita sama-sama merenung dan berfikir, seterusnya bertindak menangani isu ini.