Saturday, May 8, 2010

syukur alhamdulillah...

Syukur alhamdulillah ku panjatkan kesyukuran kepada Allah, Rob Pencipta seluruh alam... Yang menguasai segenap langit dan bumi, mengatur siang dan malam... Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasalam, kekasih Allah...

Setelah beberapa ketika saya tidak mengemaskini blog ni. Rasa rindu benar.. tapi apakan daya, demi masa sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian... Saya masih gagal merancang dan mengatur waktu dengan baik. Rasa tidak terkejar untuk menuntaskan segala tugas dan amanah yang terpikul di bahu ini. Adakalanya saya merasa seakan merangkak membawa beban yang teramat berat...

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar... hanya kepadaMu tempat aku mengadu, hanya padaMu aku memohon kekuatan, hanya padaMu aku mohon ampunan, dan hanya padaMu aku pasrahkan segala ketetapan... Allah tidak memberi apa yang kita mahu, tetapi Dia memberi apa yang kita perlu. Apa yang kita sukai itu barangkali adalah racun, dan apa yang kita benci barangkali adalah madu.

Berlalunya April, telah mencatat seribu satu kisah dan kenangan suka dan duka, sedih dan gembira. Tatkala saya ingin membina sebuah kehidupan baru, kala itu jugalah saya kehilangan tiga orang saudara yang amat saya sayangi. Bermula dengan pakcik, nenek saudara dan kemudian makcik. Kehilangan mereka bersilih minggu. Hati mana yang tidak dirundung hiba, sedih dan pilu. Tapi saya redha kerana yang pasti Allah lebih menyayangi mereka. Semoga mereka di tempatkan di kalangan orang-orang yang dirahmati Allah. Al-Fatihah...

Bulan April juga sekali lagi kereta kesayangan saya terpaksa dimasukkan ke bengkel kerana terlibat dengan kemalangan kecil di simpang hadapan rumah saya. Bukan kos gantirugi membaiki yang saya tagihkan, tapi saya melihat yang tersirat di sebalik perundingan untuk menyelesaikan kes kecil sebegitu. Saya tidak berniat untuk membuka aib sesiapa, tapi di situ saya dapat mengukuhkan lagi teori bahawa 'bapa kencing berdiri, anak kencing berlari'... Anak yang terang-terangan bersalah dibela oleh si bapa yang seakan menilai berdasarkan timbangan emosi semata-mata. Dari kejadian itu juga saya melihat betapa longgarnya pengawasan dan keprihatinan ibubapa mengenai keselamatan anak-anak. Anak gadis yang baru bersekolah menengah rendah dibiarkan mencari akal untuk pergi dan pulang ke sekolah. Jika tiada siapa yang menumpangkan, maka tidak bersekolahlah dia. Sedangkan ibu dan bapanya punya keupayaan mengusahakan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah pengangkutan si anak gadis itu tadi. Dalam hal ini, saya hanya mampu berdoa agar kemalangan kecil yang berlaku itu sedikit sebanyak telah membuka mata hati ibubapa si gadis itu untuk lebih peka kepada keselamatan anak mereka.

Saya melihat golongan remaja ini sebagai sebutir permata yang sangat berharga. Merekalah yang bakal meneruskan pentadbiran negara, mereka adalah tonggak kerumpunan bangsa, malah merekalah penerus perjuangan memenangkan Din Ilahi di muka bumi. Tapi bagaimana semua harapan ini dapat direalisasikan? Jawabnya adalah dengan ilmu dan pendidikan.

Hakikatnya, pendidikan tidak boleh di sandarkan di sekolah semata-mata kerana ia bermula dari rumah. Pemupukan budaya ilmu melalui amalan membaca amat perlu bagi mendidik anak-anak yang cintakan ilmu. Peranan ini seterusnya disambung dan digembeleng di sekolah melalui inovasi guru. Mudah-mudahan dengan didikan dan pengajaran yang baik dan berkesan, maka akan lahirlah generasi yang bukan sahaja berilmu malah berakhlak al qorimah.

Ya Allahu Ya Alim.. sesungguhnya, ilmuku ini hanya tidak lebih setitis air di lautan... Tapi aku akan meneruskan pencarian ilmuMu kerana aku tahu di situlah Engkau meninggikan darjat hamba-hambaMu... Aku bersyukur padamu ya Allah, dengan ilmuMu itu aku bisa dapat melaksanakan ibadahku untuk menegakkan Din Mu dengan lebih baik. Berikanlah aku kekuatan, ketabahan dan kesabaran untuk terus melaksanakan amanah sebagai pendidik malah sebagai khalifah di muka bumi. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim... Mudah-mudahan segala apa yang kulakukan ini, bisa membuat aku lebih bermuhasabah diri sebelum aku cuba memanusiakan orang lain. Mendidik melalui toleransi dan perdamaian... Akan ku teruskan usaha ini selagi hayat d kandung badan. Aku lebih rela mati kerana cuba memanusiakan manusia dari aku mati melihat manusia hidup bukan sebagai manusia. Amin Ya Robbal a’lamin....