Tuesday, July 20, 2010

Catatan Remaja

Saya benar-benar kasihan dengan remaja hari ini. Mereka terpaksa bertarung dengan kemajuan dan kemodenan. Malah semacam bentuk hiburan melampaui batasan. Usah disalahkan banyaknya pusat-pusat hiburan. Jangan pula dituduh artis-artis sebagai perosak pemikiran kerana hakikatnya, semua itu adalah tanda-tanda akhir zaman yang telah dingatkan di dalam al-Quran. Mereka juga tersepit dengan kehendak pendidikan yang saingannya amat sengit sekali. Ibubapa yang sepatutnya memberi perhatian, kebanyakannya gagal berbuat demikian dek kerana memenuhi tuntutan pekerjaan bagi menyara kehidupan. Guru-guru yang tugas utamanya mengajar secara jujurnya terpaksa menumpu melakukan kerja-kerja pengurusan. Jadi, di mana lagi tempat untuk golongan remaja ini berkongsi dan mencurah perasaan? Paling tidak, jawapannya adalah di laman internet, facebook.

Kebanyakan remaja hari ini terlalu jahil menilai antara dosa dan pahala, budaya dan agama. Sebagai contoh, antara mengaji Al-Quran dan menyanyi, mereka lebih hebat menyanyi. Antara bercakap tentang sejarah nabi dan artis tentu sekali isu artis dibicara secara sensasi. Salah merekakah bila terjadinya perkara begini sedangkan yang mengatur rencananya adalah golongan dewasa yakni kita sendiri?

Mahu atau tidak, kita juga mendapat saham secara langsung dari kejahilan mereka. Mereka tidak tahu bagaimana mengerjakan solat kerana di rumah ibubapa sendiri tidak solat apatah lagi mengajar bagaimana untuk solat. Bahkan, ada di antaranya langsung tidak tahu mengucap kalimah syahadah. Mereka tidak menutup aurat kerana ibubapa dan orang sekeliling mereka dilihat tidak menutup aurat. Cara berpakaian mereka bukan untuk memenuhi tuntutan agama tapi sekadar mengikuti tren semasa. Bahkan mereka lebih berani kerana tiadanya tegahan tegas dari ibubapa. Maaf, secara mudah, ibubapa dan anak, dua kali lima. Bapa kencing berdiri, anak kencing berlari.

Pastinya Jabatan Agama Islam setiap negeri tidak mampu menangani secara total bagi mengembalikan golongan remaja ini menjadi Muslim sejati. Meskipun ada badan-badan NGO yang turut sama menyusun strategi, ia masih juga belum memadai. Begitu juga dengan usaha guru-guru di sekolah dalam usaha mendidik golongan remaja ini menjadi pelajar Islam yang disegani. Apapun, segala usaha keras mereka ini wajar dihargai. Golongan-golongan ini tidak pernah sepi dari terus berjihad mengembalikan remaja ke landasan Islam hakiki. Usaha ibubapa sudah pasti. Kepada ibubapalah anak-anak remaja ini dipertanggungjawabkan dan bergantung diri.

Setelah direnung dan bermuhasabah diri, apa lagi yang terlintas di hati? Tidakkah kita tidak kasihan kepada golongan remaja ini? Mungkin kita tidak sedar apa yang meraka lalui ini amat sukar lagi payah. Jangan sekali kita samakan zaman kita remaja dengan zaman remaja sekarang. Jauh panggang dari api. Remaja kini semakin dihimpit tekanan untuk hidup. Di saat inilah mereka memerlukan kasih sayang, sokongan, galakan dan penghargaan. Bukannya tohmahan, hinaan dan cercaan. Usah kita menghukum tanpa alasan. Berilah mereka ruang untuk memperbaiki diri.

Sama-sama renungkan…

Pesanan untukmu yang bergelar remaja…

Wahai remaja, usiamu sebenarnya cukup matang untuk membezakan dosa dan pahala. Tidakkah engkau sedar, bilamana usiamu mencapai baligh segala tindak tandukmu adalah di bawah tanggunganmu sendiri? Tidak perlu disalahkan ibubapa, guru-guru mahupun persekitaran untuk dirimu terus melakukan dosa dan kesilapan. Bukalah matamu, bukalah pendengaranmu, bukalah hatimu untuk mendalami ajaran Allah iaitu Din Islam. Pilihan ada ditanganmu sendiri.

Benar, hiburan itu menyeronokkan. Tapi dirimu juga sedar, hiburan berlebihan itu bisa menghancurkan. Usah kau anggap melaksanakan hukum Allah itu menyusahkan. Malah, jika dirimu ingkar perintah Allah itu ternyata akan menumbuh titik-tik penyesalan.

Kawallah nafsumu menggunakan akal yang Allah kurniakan. Ingatlah, hidup di dunia ini hanya satu persinggahan. Carilah orang yang bisa mengajakmu ke taman kemuliaan. Kejarlah ilmu yang mampu mencegahmu ke lembah kehinaan dan kerosakan. Cintailah Allah dan kekasihNya Muhammad s.a.w melebihi segala-galanya. Jadikan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan, bukan sekadar hiasan atau sebut-sebutan. Mudah-mudahan hidupmu akan beroleh keredhaan, insyaAllah…