Tuesday, August 17, 2010

Siti Khadijah Ummul Mukminin

Siti Khadijah...

Srikandi sejati..
Kaulah lambang cinta sejati..
Serikandi pertama tika Islam bermula..
Hatimu menyalakan keyakinan..
Hartamu membuktikan pengorbanan..

Siti Khadijah adalah antara empat wanita terbaik di dunia yang telah dijanjikan Syurga sepertimana dalam sabda Rasulullah saw :

‘Cukuplah bagimu empat wanita terbaik di dunia iaitu Maryam bt Imran, Siti Khadijah bt Khuwailid, Fatimah bt Muhammad dan Asiah, isteri Fir’aun.
(Hadith Riwayat Ahmad, Abdurrazaq, Tirmidzi, Ibnu Hibban dan Hakim)

Ayuh kita kenali dengan lebih dekat, wanita hebat ini. Nama penuh beliau ialah Siti Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai. Bapanya bernama Khuwailid bin Asad manakala ibunya bernama Fatimah bin Zaidah. Beliau lahir pada tahun 68 sebelum Hijrah. Khadijah berasal daripada kabilah Bani Asad dari suku kaum Quraisy. Nasab Khadijah dari sebelah bapanya berhimpun dengan nasab Rasulullah saw pada datuknya yang keempat iaitu Qushai bin Kilab.

Kemuliaan dan ketinggian pekerti Siti Khadijah dikenali sebelum kedatangan Islam yang di bawa oleh Muhammad saw. Beliau berasal daripada keturunan bangsawan dan disegani oleh penduduk Quraisy Mekah serta memiliki nasab yang mulia.  Bapanya adalah seorang tokoh pembesar Quraisy yang terkenal hartawan dan dermawan. Pada zaman Jahiliyyah, Khadijah tidak seperti wanita Quraisy lain. Beliau memiliki kehormatan, kedudukan yang tinggi, keimanan yang sejati, berjiwa besar dan perilaku yang suci. Di dalam jiwanya, banyak merasakan kegelisahan terhadap fahaman dan amalan Jahiliyyah yang bertentangan dengan norma-noma kehidupan. Namun, Khadijah  tetap konsisten menganut agama Hanif, agama yang dibawa oleh nabi Ibrahim a.s yang berlandaskan tauhid. Keperibadian yang suci itulah beliau mendapat gelaran ath-Thairah (wanita suci) sebelum kedatangan Islam, ajaran yang dibawa oleh Muhammad saw.

Siti Khadijah berkahwin dengan Rasulullah saw saat usianya 40 tahun. Sebelum itu, beliau telah berkahwin dua kali dengan  Abu Halah At-Tamimi dan Atiq Al-Makhzumi. Setelah kematian kedua suaminya, ramai lelaki yang silih berganti melamar tetapi Khadijah telah menolaknya secara halus sehinggalah beliau mengenali seorang pemuda yang bernama Muhammad bin Abdullah. Khadijah amat terpikat dengan kejujuran dan keluhuran budi Muhammad yang telah berjaya mengembangkan perniagaannya dan memperoleh keuntungan yang jauh lebih besar. Malah, Muhammad memiliki ciri-ciri lelaki idaman yang cukup cocok sebagai suami. Berita lamaran Khadijah telah disampaikan oleh sahabat karibnya iaitu Nafisah. Muhammad menerima lamaran tersebut dengan gembira walaupun sedikit terkejut. Baginda tidak pernah bermimpi akan bernikah dengan seorang wanita yang bergelar hartawan, jelita, mulia dan berkedudukan tinggi seperti Siti Khadijah.

Pernikahan Khadijah dengan Rasulullah saw yang ketika itu berumur 25tahun berlangsung pada hari Jumaat, dua bulan setelah kembalinya Rasulullah saw dari Syam. Mereka merupakan pasangan yang sangat bahagia. Walaupun usia Khadijah ketika itu berumur 40tahun,  dengan kuasa Allah swt beliau telah dikurniakan enam orang anak. Zainab merupakan anak pertama yang dilahirkan Khadijah. Setelah itu lahir pula Umi Kalthum, Ruqayyah, Qasim, Fatimah dan Abdullah. 

Kedua-dua anak lelakinya meninggal sewaktu kecil. Semasa kematian Qasim iaitu putera pertama beliau, Siti Khadijah mengalami tamparan yang cukup hebat. Ini keranan susu di badan Siti Khadijah masih menitis semasa Qasim meninggal dunia. Sehinggakan Rasullullah terpaksa menenangkannya dengan memperlihatkan mukjizat baginda dengan memperdengarkan suara Qasim di Syurga sehingga Siti Khadijah kembali tenteram. 

Pengorbanan dan kesucian cinta Khadijah tiada tolok bandingannya. Semasa nabi berkhalwat dan bersendirian di Gua Hira’, Siti Khadijah tidak pernah bermasam muka malah beliaulah yang menyiapkan makanan dan keperluan nabi saw. Beliau sanggup mendaki Gua Hira’ dan membawa bekalan makanan walau dalam keadaan usianya yang sudah lanjut.  Siti Khadijah merupakan orang pertama yang mendengar wahyu yang disampaikan Jibril kepada Nabi Muhammad saw dan menjadi wanita pertama memeluk Islam.

Siti Khadijah menjadi tulang belakang di dalam usaha dakwah nabi sehingga akhir hayat beliau. Belaiu sanggup mengorbankan seluruh jiwa raga malah menghabiskan segala harta yang dimiliki dalam mendukung usaha menyebarkan dakwah Islamiah. Sehinggalah akhir tahun ketujuh kenabian, orang Quraisy telah mengenakan sekatan yang amat dahsyat terhadap umat Islam iaitu kepada Bani Hasyim. Walaupun Siti Khadijah tidak termasuk dalam pemulauan itu tetapi beliau tetap bersama dengan nabi. Pada awal pemulauan, beliau berjaya menyeludup makanan masuk melalui rangkaian perniagaannya. Namun ianya tidak lama dan disedari oleh pihak Quraisy. Sehinggalah satu keadaan, Siti Khadijah terpaksa memakan daun-daun kerana ketiadaan bekalan makanan.

Akibat daripada dugaan berat tersebut beliau akhirnya sakit tenat, pada usia 64tahun 6 bulan iaitu pada 11 Ramadhan, iaitu tiga tahun sebelum peristiwa Hijrah dan Isra’ Mikraj dan setelah Bani Hasyim bebas dari kaum Quraisy yang kejam. Beliau meninggal setelah menyelesaikan kewajibannya sebagai isteri, sahabat, pelindung, sandaran hati Rasulullah saw selama 25 tahun.

Semasa Siti Khadijah wafat, Nabi Muhammad saw sendiri telah mengangkat beliau dengan tangannya dan meletakkannya ke dalam liang lahad. Begitulah cinta dan kasihnya Rasulullah saw kepada isterinya Siti Khadijah. Pemergiannya benar-benar dirasai. 
Sabda Rasulullah saw,

’Allah tidak pernah memberiku pengganti yang lebih baik dari khadijah. Ia telah beriman kepadaku ketika orang lain kufur, dia mempercayaiku ketika orang-orang mendustaiku. Dia memberikan hartanya kepadaku ketika tidak ada orang lain yang membantuku. Dan, Allah SWT juga menganugerahkan aku anak-anak melalui rahimnya, sementara isteri-isteriku yang lain tidak memberikan aku anak.’

Siti Khadijah adalah cinta pertama Rasulullah saw. Padanya terhimpun segenap cinta, kasih sayang dan kelembutan seorang isteri dan juga ibu sehingga digelar ummul mukminin (ibu orang-orang mukmin). Nama Siti khadijah tetap hidup dan segar dalam ingatan Rasulullah saw. Walaupun baginda telah berkahwin lagi setelah itu, namun di bibirnya sentiasa menyebut-nyebut nama Siti Khadijah sehingga menimbulkan perasaan cemburu kepada isterinya yang lain terutamanya Siti Aisyah. Baginda sering mengatakan kepada Aisyah :

‘Sungguh aku telah menerima rezeki berupa cintanya. Maka aku mencintai setiap orang yang mencintainya.’ –HR Muslim

Rasulullah saw acapkali menginagti setiap butir kata Siti Khadijah dan sentiasa menjaga hubungan kekeluargaan serta dengan teman-temannya. Baginda juga kerapkali menyebut-nyebut kebaikan isterinya Siti Khadijah di hadapan para sahabat. Betapa hebatnya Siti Khadijah.