Wednesday, August 25, 2010

Bacalah...


Tahukah kita bahawa, mengikut statistik yang diketengahkan oleh Dr. Raghib al-Sirjani dalam satu kajiannya pada tahun 1996 mendapati rakyat Malaysia hanya membaca 2 buah buku setahun. Angka ini amat jauh berbeza sekali dengan rakyat Jepun yang membaca purata 40 buah buku setahun.  Pada tahun 2005, satu lagi kajian dijalankan terhadap 60,441 orang mendapati tiada perubahan pada tabiat membaca rakyat Malaysia di mana kita masih membaca 2 buah buku setahun. Jenis bahan bacaan yang dibaca pula adalah 77.4% surat khabar, 3% majalah, 3% buku dan 1.6% komik. (Sumber, The Star, 16 Julai 2006).

Dari satu sudut berbeza, sebagai umat Islam mari kita lihat pula bahan bacaan apakah yang perlu kita baca mengikut prioriti piramid bacaan.
1. Al-Quran al- Karim
2. Hadis Rasulullah s.a.w
3. Ilmu-ilmu asas syariah- aqidah, fiqah dan akhlak
4. Buku-buku pengkhususan ilmu/pengetahuan am
5. Buku motivasi dan pengalaman hidup orang lain yang mempunyai ‘ibrah(pengajaran)
6. Buku tentang pendidikan anak-anak, keluarga, masyarakat dan lain-lain
7. Bacaan hiburan yang tidak tersasar daripada ajaran Islam-seperti novel, sajak dan sebagainya.

Ayuh, mari kita lihat dan muhasabah diri sendiri sejauh manakah kita membudayakah amalan  membaca dalam hidup kita dan adakah bahan bacaan yang kita baca itu benar-benar seperti yang digariskan dalam piramid bacaan? Pada penulisan kali ini, cukuplah kiranya saya mengupas budaya membaca al-Quran di kalangan kita pada hari ini.

Saya pasti, bersempena bulan Ramadhan al-Mubarakh ini ramai umat Islam berlumba-lumba melakukan tadarus al-Quran baik di peringkat sekolah, surau-surau mahupun masjid-masjid. Tidak kurang pula ada yang menyasarkan untuk khatam al-Quran dalam bulan mulia ini. Alhamdulillah dan tahniah bagi segolongan kita yang boleh membaca dan masih terbuka hati untuk membaca. Namun, bagaimana pula dengan segolongan lagi yang tahu membaca tetapi tidak mahu membaca ayat-ayat suci al-Quran? Bagaimana pula segolongan lagi yang tidak tahu membaca dan itulah alasan mengapa dia tidak membaca al-Quran?

Saya tidak ingin mengupas isu ini terlalu dalam. Cukuplah saya memberi contoh sinario di sekolah saya sendiri. Saya fikir mungkin ianya juga mewakili sekolah-sekolah lain di negara ini yang tidak jauh bezanya. Bersempena bulan Ramadhan sekolah saya juga tidak ketinggalan mengadakan tadarus al-Quran. Melalui tadarus ini saya mendapat gambaran kasar bahawa semakin ramai pelajar-pelajar Islam yang tidak tahu membaca al-Quran. Hanya sedikit bilangan yang tahu dan lancar membaca al-Quran. Banyak sedikit pelajar yang tahu membaca tetapi tidak lancar dan lebih ramai pelajar yang memang langsung tidak tahu membaca al-Quran. Lebih menyedihkan apabila terdapat segelintir kecil tidak pernah sekalipun memegang al-Quran apatah lagi membaca isi kandungannya.

Sempat saya bertanya beberapa soalan kepada salah seorang pelajar dari kumpulan saya. Saya amat memuji sikapnya yang masih datang ke surau walaupun dia tidak tahu membaca jika dibandingkan dengan pelajar lain yang terang-terang melarikan diri dari bertadarus. Percaya atau tidak dia hanya menghafal dua surah iaitu Surah an-Nas dan al-Ikhlas. Surah itulah yang selalu diulang-ulang dalam solat 5 waktu.  Berikut adalah sebahagian dialog perbualan saya dengan pelajar tingkatan 3 tersebut.


Cikgu    : Masa awak sekolah rendah, ada pergi ke sekolah petang(agama)?
Pelajar  : Ada
Cikgu    : Ayah tahu baca al-Quran?
Pelajar  : Tak
Cikgu    : Emak?
Pelajar  : Tak
Cikgu    : Kakak atau abang?
Pelajar  : Ada, kakak saya tahu baca al-Quran.
Cikgu    : Kakak selalu mengaji?
Pelajar  : Ya, kakak selalu mengaji lepas solat.
Cikgu    : Hmm, kalau macam tu lepas ni boleh tak awak mintak tolong kakak ajarkan awak mengaji?
Pelajar  : Boleh, tapi.. hujung minggu je. Kakak kerja kat Shah Alam dan balik hujung minggu.
Cikgu   : Ok, xpe. Yang penting awak cuba belajar dari sekarang. Kalau perlu, awak beritahu ayah  supaya hantarawak ke rumah orang untuk belajar mengaji, boleh?
Pelajar  : Boleh.
Cikgu    : Awak rasa penting tak belajar mengaji ni? Kenapa?
Pelajar  : Penting sebab nanti bila mati Allah tanya dalam bahasa Arab

Jauh di sudut hati, saya amat mengagumi semangat pelajar tersebut. Namun hati saya juga merasa kasihan kerana pada umur sepertinya itu bukankah sepatutnya sudah boleh sekurang-kurangnya sekali dia khatam membaca al-Quran? Melalui perbualan tersebut, sama-sama renungkan mengapakah pelajar tersebut tidak tahu membaca al-Quran. Maaf, saya tidak berniat untuk mengaibkan pelajar tersebut. Namun itulah realiti kualiti pelajar Muslim pada hari ini. Ini baru bicara membaca al-Quran yang sememangnya perlu menjadi bahan bacaan utama seorang Muslim. Belum lagi bicara membaca bahan bacaan yang lain.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w sebelum baginda wafat :


“Kutinggalkan untuk kamu dua perkara (pusaka), taklah kamu akan tersesat selama-lamanya selama kamu masih berpegang kepada keduanya iaitu Kitabullah (Al-Quran) dan Sunnah Rasul-Nya”.

Melalui wasiat tersebut, amat jelas bahawa Al-Quran itu bukan sahaja untuk dibaca malah kita hendaklah berpegang teguh kepada Al-Quran. Dalam erti kata lain, adalah menjadi kewajipan bagi kita untuk mendalami isi kandungan al-Quran. Di dalam al-Quran bukan sahaja terkandung ayat-ayat berkaitan hukum-hakam malah mengandungi pelbagai bidang ilmu seperti sains, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Di dalamnya juga terkandung cara hidup dan akidah, kisah-kisah teladan, perjuangan Nabi-nabi menyebarkan Islam dan bukti-bukti penciptaan seluruh alam ini.

Membaca al-Quran atau mengaji adalah amalan ritual sahaja. Sesungguhnya pembacaan al-Quran itu telah dimudahkan dan diterjemahkan dalam bahasa kita. Membaca al-Quran bukan hanya menyebut perkataan Arabnya sahaja. Tetapi konsep membacanya perlulah diikuti dengan kefahaman, penyerapan dan amalan. Secara peribadi, saya amat bersetuju dengan penulisan dan buah fikiran Pahrol Mohamad Juoi dalam artikelnya yang bertajuk ‘Hidupkan Roh Iqra’’(Solusi, isu no.18). Dalam penulisannya ada menyebut, ‘Roh iqra’ perlu dihidupkan dan disemarakkan kembali. Dengan roh iqra’ masyarakat Jahliyyah dipulihkan dengan itu juga Jahiliyyah moden ini dirawat. Roh Iqra’ sangat dekat dengan al-Quran. Bukankah al-Quran itu sendiri bererti bacaan sinonim dengan makna iqra’ yang bermaksud bacalah’.

Berbalik kepada kisah pelajar tadi, marilah kita sama-sama menghidupkan roh iqra’ dalam diri masing-masing. Pendidikan membaca al-Quran dari usia yang lebih awal  amat perlu agar anak-anak kita ini tidak terus keciciran dan buta huruf al-Quran. Tidak lain, peranan ini sewajibnya dimainkan oleh ibubapa di rumah. Peranan ini juga tidak lain perlu dipikul sama oleh guru-guru terutamanya para ustaz dan ustazah di sekolah. Peranan Pak Imam di surau dan masjid juga penting dalam sama-sama menggalang budaya membaca al-Quran di kalangan penduduk setempat melalui kelas mengaji al-Quran. Tidak ketinggalan peranan media massa yang saya kira mampu mempengaruhi penonton dan pendengar melalui program-program khas seperti Mari Mengaji, Mari Bertaranum, Tilawah Interaktif dan sebagainya.

Saya amat yakin bahawa sekiranya penerapan budaya membaca al-Quran bermula dari kecil, diikuti dengan penghayatan dan pemahaman yang mendalam dan seterusnya diterjemah dalam konteks amalan seharian tidak mustahil segala macam bahana gejala sosial akan beransur selesai. Penekanan peri pentingnya mempelajari al-Quran harus dipandang selari dengan pentingnya ilmu akademik. Jika ibubapa sanggup mengeluarkan beratus ringgit untuk menghantar anak ke kelas tuisyen, mengapa begitu lokek untuk memberi wang ihsan kepada Pak Ustaz yang boleh mengajar anak membaca al-Quran sedangkan nilainya mungkin hanya tidak sampai rm50 sebulan? Adakah mempelajari bacaan al-Quran itu tidak penting sedangkan para ilmuan Islam terdahulu semuanya menjadikan al-Quran sebagai rujukan sehingga mereka mampu melonjakkan Islam kepada zaman kegemilangan?

Siapa lagi yang akan membaca dan memartabatkan al-Quran kalau bukan kita sebagai umat Muhammad s.a.w sendiri? Senaskah al-Quran beserta terjemahan yang kualitinya agak baik itu harganya sekitar rm80.00 tetapi manfaatnya hingga mampu membawa kita ke akhirat kelak. Malah dengan kemajuan pendidikan kini, al-Quran juga telah terbit bukan sahaja beserta terjemahan, malah meliputi tajwid, himpunan kisah-kisah nabi dan para khalifah ar-rashidin malah diceriakan dengan pelbagai warna pada tulisan bagi menarik minat kepada pembaca untuk membacanya. Di zaman millennium ini juga sudah terdapat al-Quran digital yang mudah dibawa ke mana saja. Semuanya di hujung jari. Cuma yang tinggal, kemahuan kita sendiri.  Tiada alasan untuk kita tidak membaca al-Quran meskipun kita tidak memahami sepatahpun huruf atau bahasa Arab. Dalam erti kata lain, al-Quran beserta terjemahan kan ada..

Firman Allah dalam surah Maryam, ayat 97 yang bermaksud:
‘Maka sesungguhnya telah kami mudahkan al-Quran itu dengan bahasamu agar kamu dapat memberi khabar gembira dengan al-Quran itu kepada orang-orang yang bertaqwa, dan agar kamu memberi peringatan dengannya kepada kaum yang membangkang.’

Bersempena bulan Ramadhan ini, marilah kita sama-sama imarahkan dengan membaca al-Quran, malah cuba memahami terjemahannya. Bacalah al-Quran dengan seikhlas hati mudah-mudahan kita mampu menjadi seorang hamba Allah yang lebih baik. Sesungguhnya al-Quran itu mampu mendidik jiwa agar lebih tenang dan tenteram. Sekiranya kita sekadar membaca tanpa memahami, maka yang kita perolehi hanyalah pahala. Sedangkan sekiranya kita mampu memahami dan mengamalkannya ganjaran Allah adalah lebih besar lagi.

Rujukan :
1. Solusi, isu no.18 : Di Sebalik Iqra’.

Salam Ramadhan untuk semua. Saya mengambil kesempatan momohon ampun dan maaf sekiranya terdapat baris penulisan saya yang mempunyai kesalahan atau menyingggung mana-mana pihak. Penulisan saya ini adalah luahan hati saya dan tidak lebih dari sekadar perkongsian untuk muhasabah diri sendiri dan peringatan bagi yang membacanya. Mohon beri teguran dan komen yang membina agar penulisan saya boleh ditambah baik untuk perkongsian bersama.