Thursday, March 4, 2010

Aku Menangis... Maka Tangisan Itu Telah Cukup...

Aku menangis semasa persahabatan yang murni menjadi satu kemustahilan...
Aku menangis semasa kejujuran menjadi perbuatan yang jarang dilakukan...
Aku menangis semasa keikhlasan berubah menjadi pengkhianatan...
Aku menangis semasa kemungkaran berubah menjadi kebajikan...
Aku menangis semasa aku melihat keadilan dianggap tindakan memalukan dan menindas dianggap sebagai undang-undang...
Aku menangis semasa ajaran agama kita dan luhur budaya kita mengalami kemunduran...
Aku menangis semasa kebendaan telah memperkosa nilai-nilai luhur dan prinsip-prinsip kebaikan, sehingga orang yang zalim berubah menjadi miskin dan orang yang dizalimi berubah menjadi zalim dan penindas...
Aku menangis kerana perasaan malas dan menangguhkan kesungguhan itu muncul...


MENANGIS KERANA ALLAH

Daripada Ibnu Abbas r. anhuma katanya, aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda;“Dua (jenis) mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka: Mata yang menangis akibat ketakutan kepada Allah dan mata yang tidak tidur berjaga di jalan Allah.” (At-Tirmizi). Dalam satu hadith yang lain: “Wajah yang dibasahi oleh air mata kerana takutkan Allah s.w.t.., walau bagaimana sedikit pun air mata itu, terselamat dari api neraka.”Bukan sahaja wajah yang terselamat, tetapi seluruh badannya dan orang itu ialah ahli syurga.

Airmata memberi syafaat kepada tuannya di hari kiamat dengan izin Allah. Menangislah kerana Allah. Pelepah tamar dan buraq pun menangis. Pelepah tamar menangis kerana Nabi tidak lagi menggunakan sebagai  mimbar masjid, akhirnya dimasukkan ke dalam syurga. Bura’ juga menangis kerana takut tidak dipilih nabi sebagai tunggangan.  Usah kita bazirkan airmata kerana manusia kerana hal-hal dunia. Tapi, menangislah kerana kita ingin bertaubat dan kembali kepadaNya. Menangislah kerana kita sedar betapa kerdilnya diri kita sebagai hambaNya. Menangislah kerana kita malu begitu sedikitnya amal ibadah yang kita telah lakukan sebagai khalifah di muka bumi. Menangislah kerana kita tunduk dan bersyukur di atas segala nikmatNya. Malah, menangislah andai Allah belum menimpakan ujian disebalik kesenangan yang kita miliki...

"Apabila dibacakan ayat-ayat Allah yang Maha Pemurah kepada mereka, 
maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis"    
(Surah Maryam, ayat 58)