Sunday, March 7, 2010

Cinta Sebenar...

Tentu ramai yang tertarik bila membicarakan tentang cinta. Tapi apakah cinta sebenar seorang manusia? Itulah persoalan yang dilontarkan kepadaku oleh salah seorang guru berpengalaman di sekolahku. Kutahu, cinta yang dimaksudkan bukanlah cinta kepada manusia, tetapi cinta kepada Allah dan Rasul. Namun, realiti yang banyak terjadi hari ini adalah salah faham menganai konsep sebenar bercinta di kalangan sebahagian dari kita. Dalam erti kata lain, ramai di antara kita yang hanyut dengan cinta manusia melebihi cinta fitrah kepada Allah dan Rasul. Siapa tidak tahu kisah Laila Majnun, Romeo Juliet, Lady Diana dan Dodi Al Fayed. Adakah cinta begitu  itu yang perlu kita banggakan? Jawapannya tentu sekali tidak. Tapi, mengapa kita terus mengagungkan kisah mereka dan membiarkan pemikiran kita dijajah dengan anasir cinta tidak berTuhan? Tepuk dada, tanya iman. 

Sedih dan kecewa sekali bila melihat ramai di antara kita yang lahir sebagai Islam tidak benar-benar menghayati dan memahami cinta sebenar. Mencintai manusia melebihi cinta kepada Allah dan Rasul. Malah melupakan cintanya kepada kedua ibubapa. Cinta mereka hanya bersandarkan nafsu. Maka tidak mustahillah, hari demi hari berlaku peningkatan kes zina, rogol, kes buang bayi, pelacuran dan segala macam gejala sosial yang tidak diingini dek kerana hanyut dengan asmara cinta. Biarpun pelbagai penguatkuasaan dan usaha membanteras dilakukan, namun ia terus berlaku dan semakin membimbangkan. Mereka tidak  faham apatah lagi tahu bagaimana melabuhkan cinta kepada yang lebih berhak.

Alangkah indahnya jika kita mampu mencintai Allah sepertimana kekasih Allah iaitu Rasulullah s.a.w.. Alangkah indahnya jika kita mampu mencintai Rasulullah sepertimana para sahabat mencintai Baginda. Alangkah bahagianya sebuah keluarga andai ia terbina dari cinta yang berputik sepertimana cinta Rasulullah terhadap isteri-isteri dan puteri-puteri Baginda. Betapa hebat dan istimewanya Rasulullah sehingga diangkat menjadi kekasih Allah s.w.t. 

Firman Allah s.w.t dalam surah At-Taghabun, ayat 12 yang bermaksud:
'Dan taatilah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas nyata'. 

Salah satu kisah yang boleh dijadikan contoh bagi cinta sebenar adalah kisah Abu Hurairah. Ketika Abu Hurairah hampir menemui ajalnya, mulutnya mengukir senyum dan wajahnya yang berseri-seri. Apabila ditanya mengapa wajahnya berseri-seri, beliau menjawab 'Bukankah kematian akan menemukan aku dengan Allah dan Rasulullah yang paling aku cintai?' Inilah bukti cinta sebenar sehingga di kalangan sahabat menjadikan kata-kata 'Bukankah mati syarat menemui cinta?' Kenyataan ini jauh benar tersasar dari trend cinta manusia zaman ini yang sanggup mati kerana cinta.  

Imam at-Tarmizi meriwayatkan bahawa Abdullah bin Mughaffal r.a berkata: 'Seseorang telah datang menemui Nabi SAW dan berkata; "Demi Allah, saya sangat kasih kepadaMu, ya Rasulullah". Jawab Nabi SAW: "Perhatikan benar-benar perkataanmu itu". Orang itu berkata : "Demi Allah, saya cinta kepadamu, ya Rasulullah" (diulangi sehingga tiga kali). Maka Nabi SAW bersabda : "Jika benar kamu cinta-kasih kepadaku, maka bersiap-sedialah menghadapi kemiskinan, kesusahan, persiapkanlah dirimu dengan baju (benteng iman) yang kukuh (agar dapat menghadapi segala kemungkinan susah payah), kerana kemiskinan susah payah itu lebih cepat datangnya kepada orang yang cinta-kasih kepadaku melebihi kecepatan (air) banjir ke dalam jurang (lembah yang dalam)".'  


Ya Allah Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang... Sesungguhnya persoalan yang diaujukan kepadaku ini benar-benar menyentak jiwaku. Menggerakkan aku untuk memperhalusi pencarian ilmu dan bermuhasanah diri tentang cintaku kepadaMU. Betapa aku kadangkala melupakanmu, apatah lagi mengingati kekasihMu.. Tapi aku bersyukur kepadaMu Ya Allah kerana aku masih bisa mendapat limpahan rahmat dan kasih sayangMu... Ya Allah, aku tidak mahu hanyut dalam gelora cinta manusia. Kerna kutahu, cintaku hanya layak untukMu dan kekasihMu. Kudambakan cinta kasihMu...