Monday, March 15, 2010

Guru Teladan

(Nukilan ini kutujukan khas buat diriku, guru-guru dan pelajar-pelajar...)


'Ingat, kalau kamu nakal nanti bila kamu besar dan jadi cikgu, maka anak murid kamu pasti akan lebih nakal daripada kamu'.. Itulah kata-kata keramat seorang guru yang masih segar diingatanku. Benar.. memang benar apa yang guruku perkatakan. Kini aku adalah seorang guru. Apa yang boleh aku katakan, menjadi guru di zaman millenium ini memang cukup mencabar. Karenah pelajar begitu menyesakkan fikiran. Ditambah lagi dengan beban tugas dan tanggungjawab guru yang semakin bertimbun. Namun, entah di mana silapnya kehormatan sebagai seorang guru semakin rendah dan tercalar. 

Senakal-nakal aku, aku masih lagi tahu memberi salam setiap kali berselisih dengan cikgu. Aku juga tidak pernah menjawab atau meninggi suara setiap kali bercakap dengan cikgu. Meskipun aku didenda, aku tidak pernah berdendam apatah lagi melawan cikgu.  Aku tahu menjaga kelakuanku setiap kali bersama cikgu. Aku akan malu sekiranya berselisih dengan cikgu dalam keadaan yang kurang sempurna. Aku juga menganggap guru sebagai ibubapa keduaku. Begitulah contoh  hormatnya aku terhadap guru sehingga menjadikan guru sebagai idolaku.

Tapi kini segalanya telah berubah selari dengan arus zaman. Aku tahu aku tidak boleh berharap akan dihormati seperti itu sekiranya aku ingin terus betah dalam profesion keguruan. Aku sedar bahawa aku perlu bijak dalam mendidik dan seterusnya menjadi role model yang baik kepada pelajar. Teringat aku kata-kata seorang sahabat dalam penulisannya yang berbunyi 'kita kebanjiran idola tetapi kekontangan teladan'. Aku sama sekali bersetuju dengan kenyataan itu. Persoalannya siapakah yang akan memberi teladan yang baik? Jawapannya tentu sekali adalah guru. Semua orang maklum, tugas guru kini bukan lagi setakat mengajar tapi mendidik. Tugas mendidik ini bukan perkara mudah. Jika tidak masakan segelintir ibubapa menyerahkan tugas mendidik anak mereka kepada guru di sekolah. Di sinilah titik tolak guru sebagai role model kepada pelajar.

Menjadi role model bukanlah perkara yang diibaratkan sebagai 'kacang goreng'. Dalam tidak sedar, pelajar semakin bijak dan amat teliti melihat dan mentafsir setiap perkataan, perbuatan hatta penampilan guru. Sebagai contoh, pernah sekali aku menegur seorang pelajar yang bertudung pendek. Pelajar itu menjawab, 'ala, kira ok la ni. cikgu-cikgu lain ade je yang pakai tudung pendek ke sekolah. Ni pun nasib baik saya pakai tudung tau'. Lihat, bagaimana telitinya mata seorang pelajar yang tidak pernah lekang memerhati setiap inci pakaian guru. Malah mereka bukan lagi anak kecil yang naif untuk membuat penilaian. Apa yang aku kongsikan hanyalah satu contoh bukti betapa penampilan guru sangat penting untuk menjadi salah satu aspek role model kepada pelajar. Sekiranya penampilan guru tidak dijaga, maka tidak mustahil pelajar akan gagal mengikut etika pemakaian yang sepatutnya. Begitu juga halnya dengan tindak tanduk dan bahasa percakapan guru. Pelajar kini semakin berani melawan guru baik dari segi perkataan atau perbuatan. Hal ini sudah cukup menandakan bahawa mereka benar-benar lompong akhlak untuk menghormati seorang guru. Mereka mengaggap guru itu sama taraf seperti rakan. Mereka bebas menyuarakan apa sahaja mengikut kehendak hati mereka. Semakin guru itu berkasar bahasa dan tindakan, semakin kasarlah bahana yang diterima oleh guru. Sebaliknya, jika guru itu bersikap baik dan lembut, mereka akan mengambil kesempatan dan naik bulu. 

Berdasarkan Teori Psikososial Erik Erikson, pada usia remaja (13-17tahun) mereka berada dalam krisis identiti dan kecelaruan peranan. Di peringkat ini, mereka cuba mencari satu identiti diri atau ikon yang menonjolkan keremajaan mereka. Di saat ibubapa sibuk bekerja, siapa lagi yang boleh mereka jadikan sebagai ikon identiti? Dengan kebanjiran berbagai bentuk hiburan dan program realiti tv, tentu sekali mereka cenderung memilih artis sebagai idola.  Siapa yang tidak kenal Yuna, Aizat, Hafiz, Stacy, Faizal Tahir dan ramai lagi (aku sendiri tidak kenal). Pelajar begitu taksub mencontohi golongan artis ini terutama dari segi fesyen berpakaian. Penangan golongan artis ini memang teramat hebat. Hinggakan pembawaan fesyen ini terbawa-bawa ke sekolah. Bila ditegur, jawab mereka mudah. 'fesyen cikgu'.. Mereka sampai sanggup didenda asalkan dapat mempertahankan fesyen mereka. 


Berbalik kepada guru sebagai teladan. Aku percaya sekiranya seorang guru mampu menonjolkan identiti dan peribadi yang baik tidak mustahil golongan pelajar ini akan menjadikan guru sebagai ikutan dan idola. Bukannya golongan artis yang kebanyakannya hanya merosakkan pemikiran dan akhlak pelajar. Biarpun bilangan pelajar yang menjadikan guru sebagai idola ini beberapa kerat cuma, sekurang-kurangnya itu adalah petanda bahawa seorang guru itu masih ada aura dan karisma. Aku percaya masih ada segolongan pelajar yang masih boleh menurut kata dan boleh diatur mengikut acuan seorang guru.


Secara peribadi, adakalanya aku kecewa kerana masih tidak mampu menawan hati pelajar-pelajarku untuk membuat anjakan diri ke arah yang lebih baik. Aku tahu, perubahan sikap itu adalah satu proses yang berpanjangan. Aku perlu banyak bersabar dan terus melipat gandakan usaha. Akan kupegang prinsipku, 'melakukan sesuatu itu lebih baik dari tidak melakukan apa-apa biarpun apa yang diusahakan itu gagal'. Sebelum aku mengubah orang lain, harusku ubah dan perbaiki diriku dulu. Barulah namanya kepimpinan melalui teladan. Dalam kalangan umat Islam sendiri, suri teladan yang paling baik adalah nabi junjungan kita Muhammad s.a.w...

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (aitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan Dia banyak menyebut Allah”. (Al-Ahzab:21).

Aisyah ketika ditanya tentang akhlak Rasulullah, beliau menjawab : 'Akhlaknya adalah Al Quran' (HR. Muslim no. 746)


Rasulullah s.a.w dapat menawan hati umat manusia memeluk Islam dan seterusnya membina tamadun Islam dengan peribadinya yang sungguh mulia. Setiap kejahatan yang diperlakukan ke atas baginda, dibalas dengan kesabaran dan kebaikan. Jauh sekali dengan iringan dendam atau hukuman. Wahai diriku dan insan-insan yang memegang amanah sebagai guru... ayuh sama-sama kita renungkan sejenak bagaimana akhlak dan peribadi kita sebagai role model kepada anak-anak didik kita. Jika kita inginkan perubahan, sudah masanya kita bermuhasabah diri merenung apa yang perlu diperbaiki. Mudah-mudahan niat dan usaha murni kita ini mendapat keberkatan Ilahi, insyaAllah..